NEW DELHI: Hujan monsun yang berterusan selama beberapa hari sudah meragut sekurang-kurangnya 66 nyawa di India.
Menurut pegawai kerajaan, puluhan pelancong asing terkandas di Himalaya selepas banjir memutuskan sambungan jalan raya.
Banjir dan tanah runtuh merupakan perkara biasa, malah mengakibatkan kemusnahan besar semasa musim tengkujuh di India.
Namun, para berpandangan perubahan iklim meningkatkan kekerapannya.
Hujan lebat menghanyutkan kenderaan, memusnahkan bangunan dan meruntuhkan jambatan di Himachal Pradesh, negeri paling teruk terjejas.
Ketua agensi bencana Himachal Pradesh, Onkar Sharma mengesahkan sekurang-kurangnya 33 orang maut di negeri itu.
Menurut ketua polis negeri, Satwant Atwal, pasukan penyelamat dikerahkan untuk membantu 40 pelancong asing termasuk 14 warga Rusia dan 12 rakyat Malaysia.
Katanya, kumpulan pelancong itu terkandas di beberapa destinasi pelancongan bersama ratusan penduduk India yang lain.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Sukhvinder Singh Sukhu menerusi ciapan di Twitter memaklumkan operasi pemindahan mangsa terkandas amat sukar dilaksanakan disebabkan salji lebat dan cuaca buruk.
“Kami sedang meneroka semua pilihan yang ada,” katanya.
Sementara itu, pegawai berkata, sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh di Uttarakhand termasuk sembilan individu maut pada Selasa apabila serpihan menimpa sebuah kenderaan dinaiki mangsa di lebuh raya negeri itu.
Buat sementara waktu, orang ramai juga dilarang menziarahi kuil Kedarnath, rumah ibadat terkenal di negeri itu disebabkan hujan lebat.
“Mengambil kira hujan berterusan di semua kawasan di negeri ini, saya memohon orang ramai dan pengunjung mengelak daripada melakukan perjalanan yang tidak perlu,” kata Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami.
Hujan tanpa henti turut menyebabkan kerosakan besar di seluruh Punjab, dengan sekurang-kurangnya 10 maut dalam banjir kilat.
“Terdapat kehilangan besar melibatkan nyawa dan harta benda. Anggaran kerugian sedang dinilai,” kata Menteri Hasil Dalam Negeri Brahm Shankar Jimpa.
Pihak berkuasa mengesahkan sekurang-kurangnya 11 maut di Uttar Pradesh, negeri paling ramai penduduk di India. – AFP