NEW DELHI: Hujan lebat membawa maut di sekitar kawasan di rantau Asia sejak semalam selepas angin monsun dilaporkan mencetus banjir besar dan tanah runtuh di beberapa negara termasuk India, China dan Jepun.
Monsun musim panas membawa 70 hingga 80 peratus daripada hujan tahunan di Asia Selatan namun taburannya sukar diramalkan dan berbeza-beza.
Saintis berkata, perubahan iklim menjadikan monsun berkenaan lebih kuat hingga mencetus keadaan cuaca yang semakin tidak menentu.
INDIA
Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda utara India, dengan New Delhi dilaporkan menerima hujan paling banyak dalam tempoh beberapa dekad.
Jalan raya di beberapa bahagian di ibu negara ditenggelami air setinggi lutut apabila taburan hujan tertinggi mencecah 153 milimeter dalam sehari direkodkan kelmarin yang turut menjadi jumlah terbesar sepanjang 40 tahun.
Pihak berkuasa mengarahkan sekolah ditutup di New Delhi bermula semalam dengan jabatan meteorologi India meramalkan lebih banyak hujan merentasi sebahagian besar utara India dalam beberapa hari akan datang.
Pegawai pengurusan bencana, Omkar Sharma berkata, kawasan berbukit paling teruk terjejas, menyebabkan enam maut di Himachal Pradesh selepas tanah runtuh menyekat lebih 700 kawasan jalan raya.
CHINA
Di China pula, seorang maut sementara tujuh lagi hilang selepas tanah runtuh menimpa tapak pembinaan lebuh raya di wilayah Hubei
Pegawai kerajaan tempatan dalam satu catatan di akaun WeChat memaklumkan, enam mangsa terselamat sementara beberapa lagi cedera dan pihak berkuasa sedang berusaha menghalang bencana lain di kawasan itu ketika operasi menyelamat diteruskan.
Kementerian pengurusan kecemasan China turut mengaktifkan tindak balas kecemasan tahap empat dan mengerahkan sekumpulan petugas ke lokasi kejadian.
Hujan lebat di bahagian China sejak beberapa minggu lalu menyebabkan kejadian tanah runtuh yang membawa maut walaupun terdapat kawasan yang mencatatkan suhu panas tertinggi.
Bulan lalu di wilayah Sichuan, 19 orang terbunuh akibat kejadian tanah runtuh di sebuah lombong, sementara empat lagi maut apabila hujan lebat dalam tempoh singkat turut memacu insiden serupa.
Kerajaan China sudah mengeluarkan nasihat mengenai hujan dan bencana alam lain agar kerajaan tempatan sentiasa berwaspada dan mampu bertindak balas dengan segera.
JEPUN
Ratusan ribu penduduk digesa meninggalkan kediaman mereka di barat daya Jepun selepas ramalan kaji cuaca semalam memberi amaran tentang hujan paling lebat yang belum pernah berlaku bakal membadai rantau itu.
Seorang wanita berusia 77 tahun disahkan maut apabila tanah runtuh memusnahkan rumahnya di luar bandar Fukuoka sementara tiga lagi hilang dalam insiden serupa di bandar Karatsu, di wilayah Saga.
Menjelang pagi semalam, lebih 420,000 orang di wilayah Fukuoka dan Oita berada di bawah amaran pemindahan peringkat pertama ekoran keadaan cuaca di kawasan berkenaan berpotensi mencetus bencana yang mengancam nyawa.
Lebih dua juta orang di seluruh wilayah Fukuoka, Hiroshima, Saga, Yamaguchi dan Oita pula berada di peringkat berjaga-jaga di mana penduduk perlu segera berpindah jika mereka berada di kawasan berbahaya.
Hujan lebat turut memaksa perkhidmatan kereta api laju di antara Hiroshima barat dan Fukuoka dihentikan dan ribuan rumah di seluruh barat Jepun terpaksa bergelap.
Pejabat perdana menteri berkata, pasukan petugas ditubuhkan untuk menyelaraskan tindak balas terhadap hujan selepas menerima laporan beberapa sungai mula banjir dan kejadian tanah runtuh berlaku di banyak kawasan di negara itu.