SEOUL: Lima individu yang dilaporkan hilang akibat terperangkap dalam terowong susulan hujan lebat di Korea Selatan, ditemukan sudah meninggal dunia semalam.
Penemuan itu menjadikan jumlah mangsa yang maut akibat kejadian berkaitan hujan lebat yang melanda Korea Selatan ketika ini mencecah sekurang-kurangnya 32 orang.
Ketua Balai Bomba Cheongju barat, Seo Jeong-il berkata, kelima-lima mayat itu ditemukan dalam bas yang terperangkap di dalam terowong di Cheongju, selepas pasukan penyelamat memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Namun, penemuan itu belum dimasukkan ke dalam data pihak berkuasa disebabkan belum menerima maklumat tepat mengenai jumlah mangsa yang terperangkap di tempat berkenaan.
“Tumpuan kita ketika ini adalah meningkatkan operasi SAR kerana kami yakin ramai lagi yang terperangkap di terowong itu.
“Pasukan penyelamat menganggarkan terdapat 15 buah kenderaan masih terperangkap di dalam terowong itu,” kata Jeong-il.
Selain itu, sejumlah penduduk juga dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras selepas sungai melimpah di wilayah Gyeongsang Utara.
Dalam pada itu, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol mengarahkan Perdana Menteri, Han Duck-soo menggunakan semua sumber sedia ada bagi meminimumkan kes kematian, selepas hujan lebat melanda bahagian semenanjung negara itu, semalam.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri Korea Selatan memaklumkan, seramai 26 orang maut dengan 10 lagi hilang berikutan hujan lebat.
Fenomena alam itu menyebabkan beberapa insiden tanah runtuh berlaku di seluruh negara, selain menyaksikan lebih 7,000 penduduk dipindahkan ke kawasan selamat. – AFP/REUTERS