Gunung berapi meletus di Iceland - Utusan Malaysia

Gunung berapi meletus di Iceland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REYKJAVIK: Sebuah gunung berapi meletus berhampiran ibu negara Iceland yang merupakan kali ketiga dalam tempoh dua tahun lahar memancut keluar di kawasan itu.

Rakaman media tempatan menunjukkan kepulan asap serta aliran lahar yang besar di tapak sekitar 30 kilometer dari Reykjavik.

Asap turut dilihat dari kawasan jalan yang menghubungkan ibu negara ke lapangan terbang antarabangsa dengan kereta berhenti dan orang ramai mengambil gambar.

“Letusan itu berlaku dalam lekukan kecil di utara Litli Hrutur atau disebut ‘Little Ram’ dalam bahasa Iceland di mana asap keluar ke arah utara menuju barat.

“Terdapat tiga rekahan dengan lahar pada dasarnya mengalir ke semua arah,” kata Pakar Vulkanologi Universiti Iceland, Profesor Thorvaldur Thordarson.

Menurut beliau, rekahan itu secara keseluruhannya berukuran sekitar 200 hingga 300 meter panjang dengan tahap intensiti yang rendah.

“Ini bermakna ia tidak menyebabkan ancaman yang meluas disebabkan oleh aktiviti letupan tetapi jika letusan berterusan cukup lama, ia boleh menjadi ancaman kepada infrastruktur,” jelasnya.

Beribu-ribu gempa bumi kecil direkodkan di kawasan itu beberapa minggu lalu, menandakan bahawa magma di bawah tanah sedang bergerak dan letusan akan berlaku.

Pihak berkuasa Iceland menasihatkan penduduknya supaya menjauhi lokasi letusan yang terletak di kawasan tanpa sambungan jalan sebelum mereka menilai situasi berkenaan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya