MANILA: Agensi cuaca Filipina mengeluarkan arahan berpindah kepada penduduk di kawasan pesisir pantai berikutan Taufan Doksuri yang bakal melanda utara negara itu.
Ketika ini, taufan berkenaan yang membawa angin berkelajuan maksimum 185 kilometer sejam bergerak ke arah tiga pulau terletak di hujung utara pulau utama Luzon.
Taufan yang dinamakan ‘Egay’ di Filipina dijangka melanda pulau Babuyan atau wilayah timur laut Cagayan menjelang petang ini.
Doksuri dijangka membawa hujan lebat di kepulauan itu dan bahagian utara wilayah Cagayan, Apayao dan Ilocos Norte.
Tiga daripada lima pulau Babuyan mempunyai populasi sebanyak 20,000 penduduk.
Taufan itu kemudiannya bergerak ke Taiwan dan timur China.
Dalam pada itu, pegawai bencana tempatan, Charles Castillejos memaklumkan, penduduk di pesisir pantai diarahkan berpindah buat sementara waktu, manakala golongan nelayan dinasihatkan tidak turun ke laut.
Secara purata, Filipina dilanda kira-kira 20 ribut besar setiap tahun yang mengorbankan ratusan hingga ribuan orang.
Di Fuzhou, China, pihak berkuasa meningkatkan tahap respons kecemasan taufan kepada Tahap Tiga ketika Doksuri semakin menghampiri.
Jabatan Meteorologi China meramalkan Doksuri akan bergerak ke barat laut pada kelajuan 10 hingga 15 kilometer sejam dan dijangka mendarat antara pantai selatan dan tengah wilayah Fujian serta pantai timur Guangdong pada pagi Jumaat ini. – AFP