Erdogan akur desakan dunia benarkan Sweden sertai NATO, tuntut EU hidupkan semula tawaran keahlian untuk Turkiye - Utusan Malaysia

Erdogan akur desakan dunia benarkan Sweden sertai NATO, tuntut EU hidupkan semula tawaran keahlian untuk Turkiye

RECEP Tayyip Erdogan (kiri) dan Ulf Kristersson berjabat tangan sambil diperhatikan  Jens Stoltenberg menjelang sidang kemuncak NATO di Vilnius, Lithuania.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VILNIUS: Turkiye akhirnya akur dengan desakan dunia untuk membenarkan Sweden menyertai pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Sekatan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan terhadap bidaan keahlian Sweden mencetus kebingungan terhadap persiapan menjelang mesyuarat yang diadakan NATO semalam.

Namun negara-negara itu mengatasi perbezaan mereka dalam rundingan yang berlangsung selama hampir 11 jam di Vilnius.

LANGKAH BERSEJARAH

Keputusan itu memberi ruang ahli sekutu mempamerkan muafakat pada sidang kemuncak yang memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan sokongan bagi Ukraine menentang pencerobohan Russia.

“Menyelesaikan isu penyertaan Sweden ke dalam NATO adalah satu langkah bersejarah yang memberi manfaat kepada keselamatan semua negara anggota dan sekutu kami ketika menghadapi saat genting ini.

“Ia menjadikan kita semua lebih kuat dan selamat,” kata Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg.

Penyertaan Sweden perlu diluluskan oleh Parlimen Turkiye dan Erdogan bersetuju untuk mendesak ratifikasinya.

Hungary juga masih belum menyatakan pendapat mengenai tawaran Stockholm, tetapi Perdana Menterinya, Viktor Orban memberi isyarat beliau akan mengikut keputusan Erdogan.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang turut menghadiri sidang kemuncak di Vilnius, mengucapkan terima kasih kepada Stoltenberg dan mengalu-alukan Perdana Menteri, Sweden Ulf Kristersson serta negara itu sebagai sekutu NATO ke-32.

Turkiye sebelum ini menahan permohonan Sweden untuk menyertai perikatan Atlantik itu, menuduh Stockholm melindungi aktivis Kurdish yang dianggap Ankara sebagai pengganas.

GESA KEAHLIAN EU 

Kelmarin, Erdogan meningkatkan lagi kepentingannya apabila menuntut Kesatuan Eropah (EU) menghidupkan semula tawaran keahliannya kepada Turkiye yang terhenti sebagai prasyarat untuk membenarkan Sweden menyertai NATO.

Dalam satu kenyataan selepas rundingan tiga hala antara Erdogan, Kristersson dan Stoltenberg, Sweden berikrar untuk meningkatkan perdagangan dua hala dan penyelarasan anti-keganasan.

“Sweden akan secara aktif menyokong usaha untuk menggiatkan semula proses penyertaan EU Turkiye, termasuk pemodenan Kesatuan Kastam EU-Turkiye dan liberalisasi visa,” kata kenyataan itu.

Turkiye menjadi calon rasmi untuk menyertai EU sejak 2005 tetapi perbincangan mengenainya sudah lama terhenti.

Bagaimanapun kenyataan semalam membayangkan Ankara dan Brussels mungkin bergerak untuk meningkatkan perdagangan, mengemas kini perjanjian kastam mereka dan melonggarkan peraturan visa sekiranya tiada rundingan keahlian rasmi.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dalam mesej video yang disiarkan di Telegram berkata, beliau mengalu-alukan langkah berkenaan dan berharap mendapatkan jaminan tentang peluang negaranya menyertai NATO sebagai ahli penuh jika berjaya mengalahkan pencerobohan Russia.

“Ukraine berhak berada dalam pakatan. Bukan sekarang, kerana kami masih berperang. Tetapi kami memerlukan isyarat yang jelas dan isyarat ini diperlukan sekarang,” katanya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya