KYIV: Dunia dikhuatiri tidak dapat mengawal harga makanan lagi berikutan Russia enggan menyambung semula perjanjian eksport bijirin.
Russia menarik diri daripada perjanjian yang membenarkan Ukraine mengeksport bijirin melalui Laut Hitam ke bahagian dunia yang bergelut dengan kebuluran.
Situasi itu sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan makanan global ketika harga bahan mentah melambung tinggi.
Menurut Kremlin, keputusan menarik diri daripada perjanjian itu disebabkan kegagalan memenuhi tuntutan negara itu untuk melaksanakan peraturan pelonggaran perjanjian yang selari dengan eksport makanan dan bajanya.
Bagaimanapun, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov menegaskan Russia akan menyertai semula perjanjian bijirin itu sekiranya semua tuntutan berkaitan eksport dipenuhi.
Perjanjian bijirin itu terhenti beberapa jam selepas Russia mendakwa Ukraine menyerang sebuah jambatan yang menghubungkan dengan Semenanjung Crimea.
Moscow bagaimanapun menegaskan tindakan republik itu menarik diri daripada perjanjian tersebut tiada kaitan langsung dengan serangan tersebut.
Dibawah perjanjian itu, lebih 32 juta tan metrik jagung, gandum dan bijirin lain dieksport oleh Ukraine, dengan kapal terakhir meninggalkan negara itu pada Ahad lalu.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), setakat semalam, hampir lapan juta tan barangan sudah dihantar ke China, kira-kira 25 peratus daripada 32.9 juta tan yang dieksport, manakala 44 peratus pula dihantar ke negara berpendapatan tinggi.
STABILKAN PASARAN GLOBAL
Peneraju dasar kemanusiaan dan advokasi di pertubuhan Save the Children, Nana Ndeda berkata, perjanjian bijirin itu membantu menstabilkan pasaran global serta menurunkan harga makanan di kebanyakan negara.
“Jadi, apa yang mungkin berlaku ketika ini adalah harga makanan dijangka naik semula.
“Dengan itu, negara-negara tidak akan dapat membekalkan makanan kepada keluarga dan anak.
“Malah, negara itu juga tidak dapat mengakses makanan lagi. Kita bakal menyaksikan peningkatan dalam kekurangan zat makanan,” katanya kepada Al Jazeera dari Nairobi di Kenya.
Ukraine dan Russia merupakan antara pengeksport bijirin dan bahan makanan lain yang terbesar dunia.
Justeru, sebarang gangguan boleh meningkatkan harga makanan di seluruh dunia.
REAKSI DUNIA
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memaklumkan beliau kesal dengan keputusan Russia yang enggan menyambung semula perjanjian eksport bijirin itu.
Katanya, tindakan itu akan memberi `tamparan hebat’ kepada golongan penduduk yang amat memerlukan di mana-mana sahaja.
White House dalam satu kenyataan tindakan Russia menarik diri daripada perjanjian bijirin akan menjejaskan lagi keselamatan makanan dan mengundang risiko bahaya kepada jutaan rakyat.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen menyifatkan keputusan Russia sebagai langkah yang tidak wajar.
Katanya, EU akan terus berusaha untuk memastikan keselamatan makanan negara-negara miskin terus terjamin.
UKRAINE TERUSKAN EKSPORT
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, negaranya kini bersiap sedia untuk meneruskan eksport bijirin.
“Kami tidak berasa takut, malah beberapa syarikat yang memiliki kapal datang berjumpa dengan kami. Mereka menyatakan hasrat dan bersedia untuk meneruskan penghantaran itu,” katanya. – REUTERS/AGENSI