NEW DELHI: Seorang gadis muda dari Bihar di India sanggup memotong bekalan elektrik di seluruh kampungnya semata-mata untuk mengelak diperhatikan ketika bertemu dengan teman lelakinya dari perkampungan musuh.
Penduduk Bettiah, sebuah perkampungan di daerah Champaran Barat mengadu tertekan dengan gangguan bekalan elektrik luar biasa yang berlaku hampir setiap malam.
Kegelapan tersebut meningkatkan kes kecurian dan berlarutan selama lebih seminggu, menyebabkan penduduk merayu kepada syarikat elektrik untuk membetulkan rangkaian mereka,
Namun juruteknik yang datang tidak menemukan sebarang masalah infrastruktur.
Tiada siapa yang dapat memahami apa yang sedang berlaku sehinggalah pada suatu malam, beberapa penduduk tempatan yang membuat rondaan menangkap pasangan muda yang bertemu dalam kegelapan.
Preeti Kumari mengaku jatuh cinta dengan Rajkumar, seorang pemuda dari kawasan bersebelahan yang sering bermusuhan dengan penduduk di Bettiah, menyebabkan dia berterusan memutuskan kuasa di kampungnya demi merahsiakan hubungan itu.
Sebuah video yang tular di media sosial India menunjukkan Preeti cuba mempertahankan kekasihnya itu ketika penduduk kampung mengancam untuk memukul lelaki berkenaan.
Rajkumar dilaporkan dipukul beberapa kali dengan kayu selepas kisah percintaannya dengan Preeti terbongkar tetapi dia berjaya melarikan diri dan kemudian membalas dendam terhadap penyerangnya dengan bantuan rakan dari kampungnya sendiri.
Menurut India Today, demi mengelakkan keganasan dan gangguan bekalan elektrik yang berpanjangan, penduduk kedua-dua kampung itu akhirnya memutuskan mengahwinkan pasangan muda itu di sebuah kuil tempatan.