BEIJING: China menggesa negara ASEAN menentang rancangan Jepun melepaskan air radioaktif terawat daripada loji nuklear Fukushima yang dilanda bencana.
Kyodo News memetik sumber diplomatik melaporkan, Beijing menggesa kenyataan Pengerusi Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-56 yang bermula hari ini di Jakarta untuk menyatakan bantahan pelepasan air yang dirancang kerajaan Jepun.
Pada perundingan peringkat kerja, Beijing turut meminta Indonesia yang merupakan Pengerusi ASEAN untuk mengelak daripada menggunakan istilah ‘air terawat’ dalam kenyataan bersama yang akan dikeluarkan Jumaat ini.
Jepun sebelum ini berkata, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) membuat kesimpulan dalam laporan yang dikeluarkan Selasa lalu bahawa rancangan Tokyo selaras dengan piawaian keselamatan global dan akan mempunyai kesan radiologi yang boleh diabaikan kepada manusia dan alam sekitar.
Korea Selatan berkata, pihaknya menghormati hasil semakan IAEA, manakala China mengkritik badan pemantau nuklear PBB itu dan menggesa Tokyo untuk menghantikan pelepasan yang dirancang itu.
Lapor portal berita Yeni Safak, kerajaan Jepun dan Tokyo Electric Power Company Holdings Inc. yang mengendalikan kilang Fukushima, menyasarkan untuk mula melepaskan air ke laut sekitar musim panas selepas menjalani pemprosesan untuk mengeluarkan kebanyakan radionuklid kecuali tritium.
Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin membayangkan untuk memperluaskan kawalan import Beijing ke atas makanan Jepun dengan alasan Tokyo menggunakan istilah saintifik pseudo air terawat untuk mengurangkan risiko air yang tercemar dengan bahan nuklear.-AGENSI