BEIJING: Pakar politik menafikan dakwaan China mendatangkan risiko kepada dunia, sebaliknya menegaskan negara itu membuka banyak peluang untuk syarikat dan negara asing dalam pelbagai sektor.
Penganalisis politik dari Croatia, Mladen Plese berkata, China bukan sahaja sebuah negara yang mempunyai jumlah penduduk ramai, namun ia juga merekodkan pertumbuhan ekonomi cemerlang apabila menjadi pengeksport terbesar dunia dan pengimport kedua terbesar.
Agensi berita Xinhua melaporkan, Plese menegaskan China mempunyai pengaruh yang besar dalam proses ekonomi dan perdagangan dunia.
“Pembangunan pesat ekonomi China bukan sahaja memberi kelebihan kepada negara itu untuk maju, malah ia juga menyediakan banyak peluang kepada syarikat asing untuk mengaut keuntungan.
“China boleh dilihat sebagai ‘peluang seumur hidup’ bagi kebanyakan syarikat di seluruh dunia sehinggakan saya percaya, tidak akan ada satu syarikat asing pun yang masuk ke China menerima nasib buruk,” katanya.
Selain itu, Plese menyatakan, sehingga kini, tiada satu langkah pun yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat (AS), termasuk menaikkan tarif dan mengenakan sekatan terhadap barangan China boleh menghentikan atau menjejaskan pembangunan ekonominya.
Katanya, kunjungan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken ke Beijing baru-baru ini sebenarnya adalah tekanan kuat daripada pelbagai syarikat besar di negara itu untuk Washington menstabilkan hubungan dengan China.
“Bila hubungan kedua-dua negara stabil, banyak syarikat AS boleh memasuki China dan menjalankan perniagaan secara normal.
“Tekanan oleh syarikat AS membuktikan kepentingan ekonomi China,” kata Plese.
Tambahnya, menurut angka yang diterbitkan oleh Biro Analisis Ekonomi AS, pada Februari lalu perdagangan barangan kedua-dua negara mencecah rekod baharu AS$690 bilion (RM3.219 bilion) pada 2022.