China bakal dilanda taufan ketiga minggu ini

China bakal dilanda taufan ketiga minggu ini

PASUKAN penyelamat memindahkan penduduk dari kawasan banjir selepas Taufan Doksuri melanda Quanzhou, wilayah Fujian, timur China.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Pakar meteorologi China memberi amaran ribut tropika Khanun bakal melanda kawasan pesisir pantai yang padat dengan penduduk pada minggu ini.

Ribut Khanun yang dijangka meningkat pantas menjadi taufan dilaporkan berada lebih 1,000 kilometer (km) timur kepulauan Filipina di Pasifik.

Pakar kaji cuaca meramalkan ribut Khanun mungkin melanda wilayah Zhejiang seawal Selasa ini.

Taufan biasa berlaku di China sehingga mengancam sebahagian besar bandar utama di republik itu.

Sebanyak 150 bandar di China pernah dilanda banjir hampir setiap tahun akibat sistem perparitan yang tidak mencukupi sekali gus mengganggu ekonomi tempatan dan meragut nyawa penduduk.

Ketika Pasifik Barat memasuki musim taufan kemuncak pada Ogos dan September, para saintis memberi amaran ribut boleh berlaku lebih kerap dan ganas disebabkan pemanasan global.

Khanun bakal menjadi taufan ketiga yang melanda China selepas republik itu dibadai Doksuri pada Jumaat lalu dan Talim seminggu sebelum itu.

Purata suhu permukaan laut global mencecah 21 darjah Celsius pada akhir Mac lalu dan kekal pada paras rekod tinggi sepanjang April dan Mei.

Di Florida Keys, suhu permukaan laut melonjak ke paras luar biasa yang tinggi.

Suhu di kawasan daratan juga memecahkan rekod pada tahun ini ketika gelombang haba melanda sebahagian besar Hemisfera Utara iaitu dari Kanada dan Amerika Syarikat (AS) hingga ke Mediterranean, India dan China.

Dilaporkan, sebuah bandar kecil di barat laut China merekodkan bacaan suhu 52.2 darjah Celsius pada awal bulan ini, sekali gus mencatatkan rekod baharu di republik itu.

AMARAN HUJAN LEBAT

Sementara itu, agensi perkhidmatan cuaca China mengeluarkan amaran tahap merah dengan jangkaan hujan lebat di Beijing dan wilayah sekitarnya.

Amaran itu dikeluarkan ketika Taufan Doksuri melanda kawasan pedalaman dengan membawa keadaan cuaca berbahaya ke kebanyakan bahagian di negara itu.

Amaran hujan lebat itu berkuatkuasa mulai Sabtu dan meliputi beberapa kawasan yang mempunyai ratusan juta penduduk termasuk metropolis Tianjin, wilayah Hebei dan Shandong.

Menurut pihak berkuasa majlis perbandaran, beberapa taman, tasik dan jalan pinggir sungai di Beijing sudah ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.

Hujan lebat dilaporkan berlaku di Beijing sejak petang Sabtu lalu dan dijangka berterusan sehingga Selasa ini.

Di ibu kota wilayah Fujian, pihak berkuasa mengarahkan para penduduk agar tidak keluar rumah melainkan jika hanya perlu.

Perkhidmatan pengangkutan awam juga diberhentikan buat sementara waktu.

Taufan Doksuri membadai selatan wilayah Fujian pada Jumaat lalu dengan angin sekencang 125 kilometer (km) sejam.

Malah, agensi meteorologi memaklumkan `kesan’ taufan itu dirasai di bahagian utara negara tersebut.

Pakar memberi amaran bahawa hujan lebat itu boleh mencetuskan banjir lebih buruk berbanding kejadian yang berlaku pada Julai 2012.

Dalam bencana itu, sekurang-kurangnya 79 orang maut dan puluhan ribu terpaksa dipindahkan.

Doksuri pernah diklasifikasikan sebagai taufan yang kuat ketika melanda Lautan Pasifik pada minggu lalu namun ia dilaporkan kehilangan sedikit intensitinya semasa menghampiri Filipina.

Taufan itu meragut sekurang-kurangnya 13 nyawa di sana, serta menyebabkan tanah runtuh dan banjir sebelum menuju ke arah barat laut ke China. – REUTERS/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya