BEIJING: Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan seorang lagi terperangkap selepas bumbung gim runtuh dalam satu kejadian di timur laut China.
Gim yang terletak di sebuah sekolah menengah di Qiqihar, wilayah Heilongjiang itu runtuh sebelum pukul 3 petang waktu tempatan kelmarin.
Lapor agensi berita Xinhua, seramai 14 orang dibawa keluar dari bawah runtuhan dengan empat daripadanya maut di lokasi kejadian dan enam lagi meninggal dunia di hospital.
Rakaman yang disiarkan stesen penyiaran CCTV menunjukkan keseluruhan bahagian bumbung runtuh dan pasukan penyelamat memeriksa lokasi kejadian.
“Operasi mencari dan menyelamat melibatkan hampir 160 anggota bomba dan 39 jentera bomba dikerahkan ke lokasi kejadian,” lapor CCTV.
Siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku akibat struktur binaan yang tidak kukuh.
Sehubungan itu, syarikat binaan yang berkaitan akan disoal siasat pihak berkuasa berhubung insiden tersebut.