LONDON: Seorang lelaki secara tidak sengaja tertinggal bekas berisi abu mayat anaknya di belakang tempat duduk sebuah teksi yang dinaikinya.
Sehubungan itu, semua pemandu teksi di London digesa untuk membantu dalam usaha menjejaki bekas abu kanak-kanak tersebut yang ditinggalkan oleh bapanya.
Lapor Daily Mail, polis menerusi satu ciapan memaklumkan bekas abu mayat kanak-kanak itu disimpan di dalam sebuah beg Adidas berwarna hitam.
Jelasnya, beg itu tertinggal di belakang tempat duduk teksi selepas penumpang terbabit turun di Pasar Daging Smithfield di London kira-kira pukul 6.30 pagi (waktu tempatan) pada Jumaat lalu.
“Lelaki itu menaiki teksi dari jalan Frenchurch, perjalanan yang mengambil masa kira-kira 10 minit,” jelas laporan itu.
Gesaan yang dibuat oleh pasukan polis kota London, menjadi tular dalam aplikasi Twitter.
Malah, ciapan itu mendapat lebih 1,000 tanda suka dan hampir 3,000 ciapan semula.
Ciapan itu turut dikongsi oleh Persatuan Pemandu Teksi Berlesen (LTDA), kumpulan yang mewakili pemandu teksi kulit hitam di bandar tersebut.
“Saya tidak terkejut sama sekali dengan jenis barangan yang ditinggalkan itu.
“Sebelum ini, penumpang pernah tertinggal bayi, gigi palsu, telefon bimbit, anjing dan tangan prostetik banyak kali.
“Jadi saya percaya jika pemandu teksi itu menjumpai bekas abu mayat tersebut, sudah tentu dia akan memulangkan semula kepada penumpang berkenaan,” kata Setiausaha Agung LTDA, Steve McNamara kepada Telegraph.