LAHORE: Sekurang-kurangnya 50 orang, termasuk lapan kanak-kanak terbunuh akibat banjir dan tanah runtuh berikutan hujan lebat di Pakistan sejak bulan lalu.
Hujan ketika musim panas membawa 70 hingga 80 peratus daripada hujan tahunan di Asia Selatan di antara Jun dan September setiap tahun.
Jumlah air yang banyak penting kepada jutaan petani dan keselamatan makanan di wilayah yang didiami kira-kira dua bilion penduduk itu, namun pada masa sama, menyebabkan tanah runtuh dan banjir.
“Sebanyak 50 kematian dilaporkan dalam kejadian berkaitan hujan di seluruh Pakistan sejak permulaan monsun pada 25 Jun,” kata pegawai pengurusan bencana negara dan memaklumkan 87 orang cedera dalam tempoh berkenaan.
Data rasmi menunjukkan, majoriti kematian di wilayah timur iaitu Punjab dan kebanyakannya disebabkan renjatan elektrik serta bangunan runtuh.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan Rescue 1122, Bilal Ahmed Faizi, berkata di wilayah barat laut, iaitu Khyber Pakhtunkhwa, mayat lapan kanak-kanak ditemukan dalam tanah runtuh di daerah Shangla, Khamis lalu.
Beliau berkata, anggota penyelamat masih mencari kanak-kanak lain yang terperangkap dalam runtuhan itu.
Pegawai di Lahore berkata, bandar kedua terbesar di Pakistan itu mencatat penerimaan hujan tertinggi pada Rabu, menyebabkan jalan raya dinaiki air dan hampir 35 peratus penduduk terputus bekalan elektrik serta air pada minggu ini. – AFP