YAOUNDE: Sekurang-kurangnya 37 orang maut dan 21 lagi cedera selepas sebuah bangunan pangsapuri empat tingkat runtuh di kawasan hab perniagaan Douala di Cameroon.
Pangsapuri empat tingkat itu, runtuh dengan menimpa sebuah bangunan kediaman lain di utara bandar berkenaan pada Sabtu lalu.
Ia disifatkan sebagai antara tragedi paling buruk dalam sejarah negara itu.
Menurut pihak berkuasa, seramai 21 orang cedera dengan lima daripadanya berada dalam keadaan kritikal.
Malah, pegawai memberi amaran jumlah kematian dan kecederaan dijangka meningkat ketika pasukan penyelamat berusaha mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan.
Menteri Pembangunan Bandar, Celestine Ketcha-Courtes yang melawat lokasi kejadian memaklumkan pembinaan bangunan itu tidak mendapat kebenaran.
Sementara itu, pihak pengurusan Hospital Laquintinie di Douala mengesahkan seramai 13 mangsa menerima rawatan di hospital berkenaan.
Dua daripada mangsa iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dan wanita berusia 19 tahun dilaporkan meninggal dunia. – AFP