DHAKA: Parti nasionalis Bangladesh (BNP) mendakwa polis menahan dan mencederakan lebih 100 penyokong parti pembangkang itu.
Lapor agensi berita Anadolu, sebuah kenderaan polis dan tiga bas awam dibakar, selain beberapa kereta persendirian turut dirosakkan ketika rusuhan berlaku.
Parti pembangkang dan kerajaan saling menuding jari berhubung insiden berkenaan.
Ketika ini, BNP giat mendesak kerajaan mengadakan pilihan raya yang adil secepat mungkin, manakala parti Liga Awami (AL) mahu pilihan raya diadakan pada Disember atau awal Januari.
Dalam pada itu, satu video yang tular dalam media tempatan menunjukkan polis menggunakan belantan dan menahan ahli jawatankuasa tetap BNP, Gayeshwar Chandra Roy, di Dhaka sebelum beliau dibebaskan tidak lama kemudian.
Polis Metropolitan Dhaka (DMP) memaklumkan, anggotanya menahan 90 orang yang didakwa merosakkan harta benda awam, selain memulakan serangan terhadap polis.
Timbalan Pesuruhjaya Saya Media DMP, Faruk Hossain berkata, seramai 20 anggota polis cedera kerana didakwa diserang oleh penyokong BNP.
Selain itu, polis juga dilaporkan menahan lebih 1,200 pemimpin dan penyokong BNP sejak tiga hari lalu ketika perhimpunan besar-besaran diadakan di Dhaka.
Parti Islam terbesar Bangladesh, Jamaat-e-Islami turut mengutuk serangan polis itu dan mendakwa 200 pemimpin termasuk penyokong parti itu ditahan.
Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Barat sebelum ini memberi tekanan kepada kerajaan Bangladesh untuk mengadakan pilihan raya yang bebas kerana dua pilihan raya sebelum ini didakwa dicemari penipuan undi.
Namun, kerajaan negara ini menyifatkan tindakan Barat itu sebagai campur tangan hal ehwal dalaman Bangladesh.