GENEVA: Barat dan Kesatuan Eropah (EU) menolak draf resolusi yang diusulkan oleh Pakistan berhubung jenayah kebencian agama susulan insiden membakar al-Quran di Sweden, baru-baru ini.
Sebanyak 28 daripada 47 negara anggota Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) mengundi menyokong draf resolusi tersebut, termasuk China, Ukraine dan kebanyakan negara Afrika.
Terdapat tujuh negara anggota yang wakilnya tidak hadir dan 12 yang lain menentang resolusi berkenaan termasuk Perancis, Jerman, United Kingdom dan AS.
Beberapa negara Barat beranggapan draf resolusi yang dicadangkan ‘terlalu jauh memesong daripada kebebasan bersuara’ yang diperjuangkan.
Pakistan dan beberapa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berjaya membawa isu tersebut dalam perbahasan di UNHRC selepas seorang aktivis dari Iran membakar senaskah al-Quran di luar masjid utama di Stockholm sehingga mencetuskan pelbagai reaksi negatif dari negara-negara Islam di seluruh dunia.
Draf resolusi yang dicadangkan Pakistan mengutuk semua manifesto berkaitan kebencian agama, termasuk perbuatan mencemarkan al-Quran secara terbuka dan terancang.
Selain itu, Pakistan juga mendesak semua pihak bertanggungjawab ‘menanggung semua akibat’ susulan insiden yang berlaku.
Draf itu turut mengandungi gesaan semua negara untuk menguatkuasakan undang-undang bagi menangani, mencegah dan mendakwa sebarang tindakan serta sokongan yang mendorong kebencian agama, sekali gus mencetuskan diskriminasi dan keganasan.
Pakistan turut menggesa Ketua UNHRC, Volker Turk mengenal pasti jurang dalam undang-undang negara anggota berhubung insiden bakar al-Quran.
DIBANTAH BARAT
Bimbang mengenai kebebasan bersuara, beberapa negara Barat daripada 47 negara anggota dalam majlis itu enggan mengundi dan mahu meneliti semua gesaan, langkah yang diminta bagi mencapai jalan penyelesaian terbaik.
Sejumlah negara Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS) dan Britain pula menyatakan mereka akan mengundi menentang draf resolusi tersebut.
HINA AL-QURAN BERLELUASA
Menghina dan mencemarkan kitab suci al-Quran secara sengaja dilihat semakin berterusan disebabkan mereka ‘tidak dikenakan tindakan tegas’.
“Kebebasan bersuara bukanlah alasan untuk melakukan perkara yang boleh mencetuskan keganasan, menghina dan menjatuhkan maruah mana-mana pihak.
“Kita perlu nilai semula kepentingan kebebasan bersuara jika ia hanya mencetuskan kebencian, diskriminasi dan keganasan,” kata Menteri Luar Pakistan, Bilawal Bhutto Zardari.
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi menambah, provokasi membakar al-Quran menghina umat Islam secara mendalam dan perkara itu tidak boleh ‘disembunyikan’ menggunakan kebebasan bersuara.
‘TERLALU TERPESONG’
Duta Jerman ke PBB, Jerome Bonnafont berpandangan, draf resolusi tersebut ‘terlalu jauh memesong’ daripada kebebasan bersuara yang sewajarnya.
Katanya, hak asasi manusia melindungi masyarakat, bukannya agama, doktrin, kepercayaan atau simbol mereka.
“Bukan PBB atau mana-mana negara berhak memberi definisi kepada kesucian sesuatu agama,” katanya.
Selain itu, Duta AS ke PBB, Michele Taylor pula berharap UNHRC akan ‘bersuara menerusi satu persetujuan’.
“Kita semua menentang kebencian agama, namun kita juga tidak boleh abaikan kebebasan bersuara, kita perlu ambil langkah yang paling tepat,” ujarnya.
Duta Britain, Simon Manley berkata, sukar untuk menentukan bila kebebasan bersuara tidak boleh diterima. – AFP