WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) berdepan cabaran untuk memastikan anggota tenteranya yang merentas sempadan ke Korea Utara dapat pulang dengan selamat.
Usaha membawa pulang Travis King berdepan kesukaran apabila AS memaklumkan pihaknya ‘tiada langsung komunikasi’ dengan Pyongyang.
King yang berkhidmat di Korea Selatan melarikan diri ke Korea Utara ketika melawat ke zon kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terletak antara Korea Utara dan Korea Selatan.
Washington dilaporkan cuba menghubungi Pyongyang untuk mendapatkan maklumat mengenai keadaan King, namun tidak diendahkan oleh pihak berkuasa negara itu.
“Pihak berkuasa Korea Utara tidak menunjukkan minat untuk berunding atau mengadakan dialog dengan AS ketika ini.
“Keadaan itu menyukarkan AS untuk membawa pulang Travis dengan selamat kerana hubungan kedua-dua negara tidak stabil,” kata bekas Duta AS, Thomas Hubbard.
Hubbard sebelum ini pernah pergi ke Pyongyang pada 1994 untuk membawa balik seorang anggota tentera AS yang menjadi tahanan di Korea Utara.
PILIHAN TERHAD
Dalam pada itu, pasukan perunding AS mempunyai beberapa pilihan terhad untuk menghubungi pihak berkuasa Korea Utara.
Antaranya dengan menggunakan talian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sejumlah penganalisis berpandangan, cara terbaik adalah AS ‘kekal tenang dan hormati keputusan Korea Utara.
“Pyongyang mungkin akan menyoal siasat King dan memutuskan sama ada untuk hantarnya pulang atau menahannya di penjara.
“Apa yang boleh dilakukan AS ketika ini adalah kekal tenang dan cuba menghormati sebarang keputusan yang dibuat Pyongyang memandangkan tentera kita yang masuk ke negara itu,” ujar Mickey Bergman, bekas diplomat AS.
Seorang lagi penganalisis, Jenny Town pula berpandangan, kes tersebut menjadi sukar kerana tiada siapa tahu motif King melarikan diri ke Korea Utara dan bila sebenarnya dia mahu pulang ke AS.
Kes melibatkan tentera AS melarikan diri ke Korea Utara disifatkan amat jarang berlaku.
Pada 1965, Charles Robert Jenkins, seorang anggota tentera berusia 25 tahun merentasi Zon Bebas Tentera (DMZ) dan ‘tinggal di Korea Utara selama empat dekad’.
Di sana, Jenkins mengajar bahasa Inggeris kepada tentera Korea Utara.
ALAT PROPAGANDA
Bekas diplomat Korea Utara yang melarikan diri ke Korea Selatan, Tae Yong-ho berpendapat, King mungkin dijadikan sebagai alat propaganda, namun tidak dapat dipastikan berapa lama Pyongyang akan ‘menggunakan King’ untuk mendapatkan matlamatnya.
Selain itu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken memaklumkan, pentadbiran Joe Biden sudah berulang kali cuba melakukan dialog dengan Pyongyang sejak beliau menjadi Presiden AS.
Namun, tiada sebarang respons diterima dari Korea Utara.
“Sebaliknya, kami hanya menerima laporan satu demi satu peluru berpandu dilancarkan Pyongyang sejak kebelakangan ini,” kata Blinken. – REUTERS