WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengumumkan untuk membekalkan Ukraine dengan bom berangkai yang diharamkan dalam menentang kemaraan tentera Russia di negara itu.
Tindakan itu mencetuskan banyak persoalan daripada pelbagai badan hak asasi manusia, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Pentagon, bom kluster itu akan dihantar ke Ukraine mengikut ‘waktu yang diperlukan untuk negara itu menentang kemaraan tentera Russia’.
Bom Bluster diharamkan di lebih 100 negara di seluruh dunia kerana kesan penggunaannya menyebabkan kemusnahan dan kematian dalam skala besar.
Apabila bom kluster meletup, ia mengeluarkan sejumlah bom kecil di sekitar kawasan sebesar beberapa padang bola dan ada yang tertanam dalam tanah tanpa meletup.
Antara negara yang tidak mengharamkan penggunaan senjata itu adalah China, Iran, Israel, Russia, Syria dan AS.
Penasihat Keselamatan White House, Jake Sullivan berkata, Ukraine sudah memberikan jaminan bertulis untuk menggunakan senjata itu dengan cara yang paling ‘selamat dan berhati-hati’.
Presiden Joe Biden pula menyifatkan keputusan untuk menghantar bom tersebut ke Ukraine sebagai satu perkara yang sukar, namun jelas Ukraine amat memerlukannya.
“Ini bukan satu keputusan yang mudah, tapi Kyiv amat memerlukan senjata itu untuk menentang Russia demi melindungi tanah air mereka,” katanya.
Dalam pada itu, jurucakap Russia, Grigory Karasin menzahirkan kebimbangan serius mengenai keputusan Washington tersebut.
Katanya, Russia akan memberi tindak balas terhadap perkara berkenaan.
Selain itu, sejumlah organisasi kemanusiaan antarabangsa menyelar keputusan AS untuk membekalkan bom berangkai kepada Ukraine.
“Membekalkan bom itu sama seperti melaksanakan hukuman mati kepada penduduk awam bagi jangka panjang.
“Mungkin ada generasi yang belum lahir ketika ini akan menjadi mangsa bom itu pada masa akan datang,” kata Baptiste Chapuis of Handicap International – Humanity and Inclusion (HI).
Pandangan sama turut dilontarkan sekumpulan anggota Demokrat yang mengecam keputusan Biden kerana ia hanya ‘melemahkan’ kuasa moral Washington, selain disifatkan sebagai kesilapan besar. – REUTERS