WASHINGTON: Di sebalik lantang bersuara dalam pelbagai isu seperti memperjuangkan demokrasi, keselamatan, perubahan iklim, keganasan antarabangsa dan pandemik global, Amerika Syarikat (AS) sebenarnya berdepan dengan masalah yang lebih besar.
Hal ini kerana, AS menjadi sumber utama ketidakstabilan di seluruh dunia, atau dalam erti kata lain, ‘ibu segala masalah yang berlaku’.
Menurut bekas Presiden Majlis Perhubungan Luar AS, Richard Haass, perkara yang paling membimbangkan dan serius terhadap keselamatan dunia ketika ini adalah AS sendiri.
Beliau yang sudah berkecimpung dalam organisasi itu selama lebih dua dekad mendedahkan perkara berkenaan dalam satu temu bual bersama The New York Times.
Katanya, sistem politik AS menyaksikan ancaman dalaman yang ‘besar’, sekali gus mengatasi ancaman luar.
“Biarpun AS lantang memperjuangkan demokrasi dan keadilan buat rakyatnya, selain menggesa negara lain juga berbuat demikian, negara ini sebenarnya yang paling bermasalah.
“AS menjadi sumber ketidakstabilan yang paling besar, selain menunjukkan sistem demokrasi paling rapuh,” kata Haass.
SISTEM POLITIK TERBURUK
Selain itu, Haass juga menyatakan situasi politik domestik di AS merupakan yang paling ‘teruk sehingga tiada pihak yang ingin mencontohinya’.
Jelas beliau, sistem politik di negara ini boleh disifatkan ‘tidak telus, penuh dengan penipuan yang boleh menghancurkan’.
“Keadaan itu menjadikan AS bukanlah sumber terbaik untuk dicontohi negara lain, malah menyukarkan mana-mana negara untuk bergantung dengan kami,” ujar Haass.
PANDANGAN BERUBAH
Menerusi buku karyanya yang berjudul ‘The Bill of Obligations: The Ten Habits of Good Citizens’, Haass mengakui cabaran di negara sendiri lebih lebih besar berbanding urusan di negara lain.
Katanya, pandangannya mengenai negara ini sudah berubah apabila menyaksikan sendiri bagaimana AS boleh menjadi sumber utama kepada ketidakstabilan dunia.
“Pada mulanya saya tidak pernah membayangkan untuk menulis buku dan hanya ingin ‘menyusun semula demokrasi di AS’.
“Namun, jangkaan dan pandangan saya meleset apabila melihat AS semakin banyak menyumbang kepada masalah di seluruh dunia,” jelasnya.
ADAKAH AS AKAN BERUBAH?
Haass turut mempersoalkan adakah negara ini akan berubah dalam jangka panjang atau sebaliknya.
Beliau berkata, negara ini sudah berdepan dengan pelbagai konflik, termasuk perpecahan dan ketidakstabilan sepanjang abad yang lalu.
“Saya berharap menerusi buku tulisan saya ini, rakyat AS lebih memahami apa yang berlaku sebenarnya di negara mereka.
“Apabila saya bercakap mengenai perkara ini, banyak pihak menyedari ada yang tidak kena dengan sistem demokrasi AS dan itulah yang saya ingin sampaikan.
“Kita masih ada masa dan ruang untuk memperbetulkannya menerusi pelbagai cara,” katanya.
Dilahirkan di Brooklyn dan dibesarkan di Long Island, Haass merupakan ahli politik veteran yang berkhidmat di bawah empat pentadbiran Presiden AS, iaitu satu di bawah Demokrat dan tiga Republikan.