Amah intai peluang di Korea Selatan, projek perintis tawar gaji lumayan - Utusan Malaysia

Amah intai peluang di Korea Selatan, projek perintis tawar gaji lumayan

RAMAI pembantu rumah warga asing di Singapura dan Hong Kong kini mengintai peluang bekerja di Korea Selatan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Korea Selatan dilaporkan berhasrat menarik pembantu rumah asing dari Asia Tenggara bagi mengurangkan bebanan keluarga di negara itu menjaga anak-anak mereka dan menguruskan kerja rumah.

Usaha terdesak untuk membuka pintu kepada pekerja domestik warga asing itu dibuat bagi meningkatkan semula kadar kelahiran yang jatuh ke paras terendah sejak beberapa tahun lalu.

TAWAR BANYAK KEMUDAHAN

Sebanyak 100 orang pembantu rumah yang pertama dijangka mula bekerja tahun ini dalam projek perintis yang bakal diperluaskan kepada program berskala besar seperti yang dikendalikan di Hong Kong dan Singapura.

Di bawah projek perintis yang  dianjurkan oleh kementerian buruh itu, pembantu rumah warga asing akan mendapat gaji minimum sebanyak 9,620 won (RM34.43) sejam dan tambahan bayaran kerja lebih masa serta elaun lain. 

Bayaran bulanan bagi pembantu rumah di Korea Selatan dijangkakan mencecah kira-kira 2 juta won (RM7,157), melebihi tiga kali ganda jumlah yang ditawarkan di Hong Kong dan Singapura.

Program berkenaan juga akan menyediakan penginapan asrama yang berasingan, tidak seperti di Hong Kong dan Singapura di mana pembantu rumah perlu tinggal dengan majikan mereka.

GONCANG PASARAN BURUH

Pakar buruh dan Profesor bersekutu di Sekolah Sains Sosial Universiti Teknologi Nanyang, Laavanya Kathiravelu berpendapat, walaupun masih dalam peringkat awal, program pembantu rumah di Korea Selatan berpotensi menggoncang pasaran buruh warga asing berpendapatan rendah.

“Korea Selatan mempunyai amalan pasaran buruh yang lebih baik untuk pekerja berpendapatan rendah termasuk manfaat minimum dan faedah cuti bersalin serta penginapan berasingan yang tidak dimiliki oleh Singapura.

“Faktor -faktor ini boleh menjadikan Korea Selatan sebagai destinasi yang lebih menarik untuk pembantu rumah warga asing,” katanya kepada Al Jazeera.

Pengarah Urusan Agensi Pekerjaan We Are Caring, David Bensadon yang berpangkalan di Singapura berkata, Korea Selatan boleh menjadi destinasi pilihan jika gaji dan keadaan kerja ditetapkan dengan betul, memandangkan populariti budaya dan makanan negara itu dalam kalangan pembantu rumah.

“Walaupun banyak butiran tentang projek berkenaan masih belum diketahui, Korea Selatan mempunyai peluang untuk melaksanakan piawaian etika dari hari pertama, seperti memastikan amalan adalah telus dan tidak ada potongan gaji atau yuran penempatan,” jelasnya.

ISU BUDAYA

Pembantu rumah dari Sri Lanka, Achala Perera, 47, yang kini bekerja di Hong Kong berkata, dia ingin berpindah ke sebuah negara yang tidak melayan pekerja domestik seperti ‘robot’  dengan waktu kerja yang panjang melebihi 16 jam dan sedikit masa rehat.

“Saya mendengar dari rakan-rakan di Korea Selatan yang mengatakan negara itu mempunyai persekitaran yang baik serta perlindungan yang baik untuk pekerja.

“Jika berpeluang, saya gembira untuk memohon bekerja di mana-mana negara dengan keluarga yang selesa. Saya tidak bergantung kepada satu negara sahaja,” katanya.

Bagaimana pun pakar berpendapat pembantu rumah dari Asia Tenggara mungkin berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan cara hidup rakyat di Korea Selatan yang sebelum ini lebih selesa memilih pekerja dari China yang boleh bertutur dalam bahasa mereka.

“Walaupun bayaran yang diterima agak tinggi, namun jumlah itu mungkin masih rendah berbanding dengan pekerja tempatan atau warga China, sekaligus menghasilkan hierarki kewarganegaraan, di mana pembantu rumah Asia Tenggara berada di bawah.

“Korea Selatan mempunyai rejim imigresen yang agak ketat setakat ini, jadi perlu ada peralihan minda supaya keluarga menjadi lebih selesa dengan orang dari Asia Tenggara yang bekerja di sekitar rumah dan menjaga anak -anak mereka,” kata Kathiravelu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya