OAXACA: Sekurang-kurangnya 29 orang maut apabila bas dinaiki mereka terbabas di jalan kawasan pergunungan lalu terjunam ke dalam gaung di bandar Oaxaca, Mexico.
Pendakwa raya, Bernardo Rodriguez Alamilla mengesahkan seramai 19 mangsa cedera dalam nahas itu.
“Setakat ini, 29 orang terbunuh manakala 19 lagi cedera selepas operasi menyelamat dilaksanakan selama 12 jam,” katanya.
Beberapa gambar lokasi kejadian yang tular menunjukkan serpihan bangkai bas di bahagian bawah tebing curam ketika anggota penyelamat berusaha menyelamatkan mangsa.
Menurut pendakwa raya, mangsa maut terdiri daripada 15 wanita termasuk dua meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, serta 13 lelaki dan seorang kanak-kanak.
Sebelum ini, laporan awal menyatakan seramai 27 orang terbunuh dan 17 cedera.
Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas yang mana tanda awal menunjukkan mungkin disebabkan oleh masalah teknikal.
Sementara itu, agensi perlindungan awam memaklumkan sekurang-kurangnya enam mangsa masih berada dalam keadaan parah apabila dikejarkan ke hospital.
Bas dikendalikan oleh syarikat pengangkutan tempatan dilaporkan meninggalkan ibu kota Mexico City pada malam Selasa dan menuju ke bandar Santiago de Yosondua.
“Pemandu berkemungkinan hilang kawalan sehingga bas itu terjunam ke dalam gaung sedalam lebih 25 meter,” kata pegawai Jesus Romero. – AFP