MONTEVIDEO: Kira-kira 2,000 penguin ditemui mati di pantai timur Uruguay dalam tempoh 10 hari dan puncanya masih menjadi misteri, kata pihak berkuasa.
Ketua Jabatan Fauna Kementerian Alam Sekitar, Carmen Leizagoyen, berkata penguin Magellanic mati di Lautan Atlantik dan dibawa arus ke pantai Uruguay.
“Ini adalah kematian yang berlaku di dalam air. Sebanyak 90 peratus adalah spesimen muda yang tiba tanpa rizab lemak dan dengan perut kosong,” katanya sambil menegaskan semua sampel yang diambil diuji negatif untuk selesema burung.
Penguin Magellanic bersarang di selatan Argentina. Pada musim sejuk di hemisfera selatan, binatang itu berhijrah ke utara untuk mencari makanan dan perairan yang lebih panas hingga ke pantai Brazil, Espirito Santo.
“Adalah perkara biasa untuk beberapa peratusan mati, tetapi bukan angka besar seperti ini,” kata Leizagoyen, sambil mengingatkan kematian yang sama berlaku tahun lalu di Brazil atas sebab tidak dapat ditentukan.
Pengarah kawasan perlindungan Laguna de Rocha, Hector Caymaris, memberitahu AFP bahawa dia mengira lebih 500 penguin mati di sepanjang 10 kilometer pantai Atlantik.
Penyokong alam sekitar mengaitkan peningkatan kematian penguin Magellan disebabkan penangkapan ikan berlebihan dan secara haram.
“Dari 1990-an dan 2000-an kami mula melihat haiwan kekurangan makanan. Sumber itu dieksploitasi secara berlebihan,” Richard Tesore, daripada NGO SOS Marine Wildlife Rescue, memberitahu AFP.
Siklon subtropika di Atlantik yang melanda tenggara Brazil pada pertengahan Julai berkemungkinan menyebabkan haiwan paling lemah mati akibat cuaca buruk, tambahnya.