BEIJING: Seorang wanita dari Shanghai menjadi terkenal di negaranya selepas mendedahkan manfaat memeluk pokok sebagai terapi terbaik dari segi fizikal dan psikologi.
Qishishiqi berkata, dia memeluk pokok pertamanya pada April lalu semasa berada di luar bersama suaminya.
“Ketika itu, saya berasa sedikit tertekan, saya memeluk sebatang pokok rambang di sebuah jalan sepi di Shanghai dan dengan segera dapat merasakan kesan positifnya.
“Tekanan berkaitan kerja terus `hilang secara ajaib’ semasa memeluk pokok yang tebal itu.
“Pengalaman pertama menakjubkan ini mendorong saya untuk memeluk pokok lain dan berkongsi kisah dengan orang lain agar mereka juga mendapat manfaat terapi itu,” katanya.
Dalam satu catatan di laman instagram versi China, Xiaoshomgshu, wanita itu mendakwa dia berasa lega dan sembuh selepas memeluk pokok berusia seribu tahun yang ditanam di sebuah taman berhampiran Shanghai.
Malah, Qishishiqi menerusi catatan sama mendakwa dia juga berasa `pokok itu seolah-olah sedang memeluknya’ sekaligus membantu meringankan semua beban dipikulnya.
Qishishiqi menjelaskan dia sentiasa berasa gementar apabila memeluk individu lain kerana takut mereka mungkin tidak mampu menahan tenaga negatifnya.
“Namun, pokok amat berbeza kerana ia akan mendengar anda dengan sabar.
“Saya tidak menasihatkan anda menggantikan perubatan dengan memeluk pokok tetapi menyokong perubatan tradisional Cina yang mendakwa amalan demikian memberi manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental,” katanya.