OTTAWA: Kapal selam Titan yang hilang semasa ekspedisi membawa kumpulan pelancong meneroka bangkai Titanic di dasar laut Ahad lalu pernah berdepan kejadian serupa tahun lepas, sekaligus menimbulkan kebimbangan tentang tahap keselamatannya.
Menurut wartawan CBS, David Pogue, kapal selam OceanGate Expeditions hilang komunikasi ketika beliau menyertai perjalanan pada musim panas lalu.
Pogue menjelaskan, kapal di permukaan sepatutnya membimbing kapal selam ke bangkai Titanic dengan menghantar mesej teks kerana ketiadaan isyarat lain.
Gangguan komunikasi menyebabkan kapal selam itu gagal mengesan bangkai Titanic dan mengecewakan pelancong yang sudah membayar AS$250,000 (RM1.16 juta) untuk menyertainya.
Pogue berkata, anak kapal akhirnya dapat menyaksikan bangkai kapal Titanic selepas hampir tiga jam menunggu masalah komunikasi dipulihkan.
Dalam pada itu, menurut satu tuntutan mahkamah pada tahun 2018, bekas pengarah operasi marin OceanGate, David Lochridge pernah membangkitkan kebimbangan tentang isu keselamatan kapal selam berkenaan sebelum beliau dipecat.
Dalam tuntutan mahkamah yang difailkan di Washington lima tahun lalu, Oceangate menuduh Lochridge melanggar perjanjian dengan mendedahkan beberapa maklumat sulit syarikat.
Menerusi tuntutan balas, Lochridge mendakwa dipecat oleh OceanGate pada Januari 2018 selepas dia menyatakan kebimbangan tentang keselamatan reka bentuk Titan yang belum diuji oleh OceanGate.
“Lochridge pertama kali menyatakan kebimbangan lisan mengenai isu keselamatan dan kawalan kualiti Titan kepada pengurusan eksekutif OceanGate. Komunikasi lisan ini tidak diendahkan,” jelas laporan itu.
Sejak Ahad lalu, pasukan penyelamat berusaha keras mencari kapal selam dan menyelamatkan lima anak kapal sebelum mereka kehabisan bekalan oksigen.
Penumpang yang menyertai misi kali ini merupakan antara hartawan terkenal dunia. Berikut adalah biodata mangsa yang terlibat:
Hamish Harding
Harding, 58, merupakan hartawan Britan dan Pengerusi firma pesawat persendirian Action Aviation. Isterinya bernama Linda, dan pasangan itu mempunyai empat orang anak.
Beliau memegang lesen juruterbang pengangkutan syarikat penerbangan dan penarafan jenis jet perniagaan, termasuk Gulfstream G650. Beliau juga merupaka seorang penerjun udara, dan tersenarai dalam Living Legends of Aviation tahun lalu.
Harding menyertai banyak perjalanan ke kutub selatan dan pada tahun lepas menyertai misi ke angkasa lepas dengan syarikat Blue Origin milik hartawan, Jeff Bezos.
Shazada dan Sulaiman Dawood
Shahzada, 48, ialah Timbalan Pengerusi Engro Corporation yang merupakan konglomerat kimia dan tenaga Pakistan berpangkalan di United Kingdom (UK).
Billionaire Pakistan itu juga adalah ahli lembaga badan amal Prince’s Trust International milik Raja Charles.
Difahamkan keluarga Dawood, yang tinggal di Surbiton, barat daya London, berada di Kanada selama sebulan.
Anak lelakinya, Sulaiman berusia 19 tahun turut menemaninya dalam misi itu.
Paul-Henri Nargeolet
Nargeolet ialah bekas komander tentera laut Perancis berusia 77 tahun yang sering dipanggil ‘Mr. Titanic’.
Beliau mengkaji tentang kapal Titanic selama 35 tahun dan terlibat dalam beberapa ekspedisi kapal selam ke kawasan bangkai kapal itu dan menghabiskan masa lebih ratusan jam membuat pemerhatian.
Pada tahun 1987 beliau merupakan ahli pasukan yang membawa beberapa siri objek daripada bangkai kapal itu.
Stockton Rush
Rush, 61 tahun adalah Ketua Eksekutif dan Pengasas OceanGate, syarikat di sebalik misi ke Titanic.
Menurut laman web syarikat itu, Rush menyelia strategi kewangan dan kejuruteraan OceanGate dan menyediakan visi yang jelas untuk pembangunan kapal selam berkenaan.
Sepanjang 20 tahun yang lalu, beliau menyelia pembangunan beberapa usahasama perniagaan melibatkan syarikat pengeluar sistem sonar frekuensi tinggi, BlueView Technologies; syarikat perisian, Entomo dan Control Technology Inc yang mengeluarkan peranti kawalan jauh tanpa wayar.-AGENSI