PARIS: Beberapa pakar industri penerbangan menjangkakan harga tiket penerbangan yang mahal ketika ini mungkin kekal berterusan untuk tempoh akan datang meskipun mengalami kejatuhan dalam harga minyak baru-baru ini.
Permintaan perjalanan udara antarabangsa yang meningkat secara beransur-ansur pada tahun lalu berikutan penarikan balik sekatan pandemik Covid-19, memberi petanda kononnya tambang penerbangan bakal menjadi lebih mahal.
Namun, pada tahun ini, ketika syarikat penerbangan menjangkakan bilangan penumpang kembali ke tahap sebelum pandemik, harga tiket penerbangan benar-benar menjadi mahal.
Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Perancis, pada April lalu, purata harga tiket penerbangan adalah 32.6 peratus lebih tinggi berbanding direkodkan pada empat tahun lalu.
Peningkatan itu adalah sebanyak 51 peratus bagi penerbangan ke rantau Asia-Pasifik.
Di Amerika Syarikat (AS) pula, laporan Rizab Persekutuan St Louis menunjukkan kenaikan harga tiket penerbangan sebanyak 11 peratus antara April 2019 dan April 2023.
Situasi itu berlaku walaupun pada hakikatnya harga minyak menurun sejak kemuncak insiden pencerobohan Russia di Ukraine pada awal 2022.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menganggarkan harga minyak akan menurun kepada purata AS$98.5 (RM454.52) setong tahun ini berbanding AS$135.6 (RM625.72) pada 2022.
Bahan api biasanya mempunyai kesan ketara ke atas harga tiket meskipun hanya mewakili antara 25 dan 30 peratus kos penerbangan.
Bagaimanapun, ketua pakar ekonomi IATA, Marie Owens Thomsen berpandangan kos buruh dan kos lain berkaitan dengan rantaian bekalan kelihatan lebih tinggi.
“Syarikat penerbangan perlu mencari jalan untuk menampung kos terbabit atau mereka akan mula mengalami kerugian sekali lagi pada suatu masa apabila firma itu terpaksa membayar hutang besar ditanggung akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam mesyuarat agung IATA yang disertai kira-kira 300 syarikat penerbangan dari seluruh negara.
KEKURANGAN TEMPAT DUDUK
Dalam pada itu, pakar sektor penerbangan di firma pengurusan perundingan McKinsey, Vik Krishnan berpandangan isu utamanya bukan mengenai harga minyak semata-matanya.
Sebaliknya, kata beliau, ia mengenai masalah kekurangan tempat duduk di tengah-tengah permintaan perjalanan udara antarabangsa yang semakin meningkat.
Meskipun tempahan dikatakan penuh sehingga akhir dekad, syarikat pengeluar pesawat masih bergelut untuk memenuhi sasaran penghantaran disebabkan kekurangan alat ganti atau bahan daripada pembekal mereka.
Malah, wujudnya isu kos buruh yang menyebabkan kesukaran.
“Banyak syarikat penerbangan terpaksa membatalkan perjanjian ditawarkan kepada kru kabin mereka.
“Malah, semua bekalan, pengendali lapangan, kedai penyelenggaraan, mereka perlu membayar gaji lebih tinggi akibat pandemik Covid-19,” kata pakar dari firma perundingan Bain & Company, Geoffrey Weston.
Pakar sektor penerbangan di AlixPartners, Pascal Fabre menegaskan tiada banyak faktor yang akan menurunkan harga tiket penerbangan.
Sementara itu, Thomsen berkata, pihaknya menjangkakan harga tiket penerbangan tidak akan menurun bagi pengguna dalam masa terdekat.
Katanya, ia akan berlanjutan meskipun industri penerbangan perlu membuat pelaburan berbilion dolar dalam pesawat baharu dan bahan api boleh diperbaharui sekiranya berharap untuk mencapai sasaran penyahkarbonan 2050.
“Kos berkemungkinan meningkat sehingga satu tahap apabila semua penyelesaian menjadi berdaya maju secara komersial dan dihasilkan secara berskala.
“Apabila kita mencapai tempoh itu, kita boleh berfikir bahawa kos ini boleh menurun lagi.
“Saya tidak dapat menentukan dengan tepat bila perkara itu akan berlaku tetapi saya mungkin jangkakan pada 2040,” katanya. – AFP