BAITULMUQADDIS: Tentera Israel membunuh tiga rakyat Palestin termasuk seorang remaja dan melepaskan peluru berpandu dari sebuah helikopter dalam serbuan di Tebing Barat.
Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan berkata, tiga rakyat Palestin maut dan sekurang-kurangnya 29 yang lain cedera akibat pencerobohan Israel terhadap Jenin.
Kementerian itu menamakan tiga yang terbunuh sebagai Qassam Abu Saria, 29; Khaled Assassa, 21 dan Ahmed Saqer, 15.
Media melaporkan tentera Israel tidak memberi sebarang maklumat terhadap serbuan di bandar utara Tebing Barat berkenaan.
Seorang jurugambar di Jenin mengesahkan pertempuran berterusan sehinga jam 8.40 pagi (waktu tempatan) dan helikopter tentera melepaskan beberapa peluru berpandu ke arah rumah penduduk Palestin.
Seorang pegawai perisikan Palestin berkata, ia adalah kali pertama sejak tahun 2002 tentera Israel menembak peluru berpandu dari pesawat semasa serbuan di Jenin.-AFP