PATI: Seorang wanita ditemukan mati sambil memeluk anaknya yang ketiga berusia kurang sebulan di sebuah rumah sewa di Pati, Jawa Tengah, kelmarin.
Wanita yang dikenali sebagai Budiati, 31 tahun, dipercayai meninggal dunia kerana dipukul suaminya, Mashuri, 45, berikutan kesan lebam pada bahagian badan.
Ketika mayatnya ditemukan, anak pertama dan keduanya yang masing-masing berusia empat dan dua tahun juga memeluk Budiati dari belakang dan mereka dalam keadaan lemah.
Bayi itu pula terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami dehidrasi.
Jurucakap Polis Pati, Onkoseno G Sukahar berkata, wanita itu dipercayai sudah meninggal dunia selama dua hari berdasarkan keadaan mayatnya.
“Polis menemukan beberapa kesan lebam dan luka pada bahagian tubuh mangsa, termasuk di kepala.
“Kami percaya wanita itu menjadi mangsa keganasan rumah tangga oleh suaminya.
“Bahkan, ketika ditahan dan disoal siasat, suami wanita itu mengakui dia pernah memukulnya beberapa kali,” katanya.
Selain itu, polis juga tidak menolak kemungkinan Budiati meninggal dunia kerana badannya masih lemah selepas melahirkan anak.
Mayat Budiati ditemukan penduduk setempat selepas pintu rumahnya dipecahkan kerana jiran tetangga terdengar bunyi tangisan ketiga-tiga anaknya tanpa henti.