NEW DELHI: Sebuah syarikat teknologi maklumat di Gurugram dikritik pengguna media sosial baru-baru ini apabila seorang daripada pengarahnya mengarahkan pintu keluar di bangunan syarikat tersebut dikunci bagi menghalang para pekerjanya keluar tanpa kebenaran.
Satu video yang tular menunjukkan seorang pekerja menggunakan rantai besi yang besar dan kunci untuk menutup pintu keluar syarikat Coding Ninjas di sebuah bangunan.
Menurut pengawal keselamatan bangunan berkenaan, dia diarahkan oleh seorang daripada ketua atasan supaya mengunci pintu keluar bagi memastikan tiada seorang pun pekerja keluar tanpa kebanaran.
Video itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai mencabul hak asasi pekerja.
Dalam pada itu, syarikat berkenaan mengesahkan insiden yang berlaku.
“Memang benar insiden itu berlaku di bangunan syarikat kami, dan pihak pengurusan menyesali dengan apa yang terjadi.
“Tindakan pengarah berkenaan bertentangan dengan budaya kerja Coding Ninjas dan kami akan pastikan insiden seperti ini tidak berulang lagi,” jelas syarikat tersebut menerusi kenyataan.
Selain itu, syarikat itu juga memaklumkan, insiden tersebut ‘berjaya diselesaikan’ dalam tempoh beberapa minit.