Taufan Biparjoy: India, Pakistan mula pindahkan penduduk - Utusan Malaysia

Taufan Biparjoy: India, Pakistan mula pindahkan penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Pakistan dan India yang diramal dilanda Taufan Biparjoy, masing-masing dilaporkan sudah memulakan operasi pemindahan penduduk serta ternakan sebagai persediaan berdepan bencana itu.

Wilayah Sindh di selatan Pakistan, semalam memulakan prosedur pemindahan keluar dari kawasan pantai bagi mengelakkan berlakunya korban manusia dan ternakan, susulan Taufan Biparjoy yang dilaporkan bakal membadai lokasi terbabit.

Ketua Menteri wilayah Sindh, Murad Ali Shah, berkata taufan dari Laut Arab itu bergerak ke utara dan berkemungkinan akan melanda kawasan pantai selatan Pakistan, termasuk ibu kota wilayah Karachi, Badin dan Thatta, bermula hari ini hingga Khamis.

“Ribut yang sangat teruk kini berada kurang daripada 600 kilometer (km) di selatan Karachi dan mungkin membawa ombak tinggi.

“Malah, kawasan pantai negara ini juga sudah mula merasakan kesan angin kencang dan ribut debu,” katanya.

Pihak berkuasa sudah mengeluarkan arahan bagi mengalihkan papan iklan, mengosongkan bangunan berstruktur lemah, dan mengambil langkah pencegahan di bangunan dilengkapi panel kaca yang lemah di sekitar Karachi.

Nelayan juga dilarang ke laut laut, malah jalan menuju ke kawasan perairan di Karachi disekat bagi menghalang orang ramai daripada pergi ke pantai.

Jabatan Meteorologi Pakistan mengeluarkan amaran ke-13 semalam, dengan menyatakan kelajuan angin maksimum taufan ialah 160 hingga180 kilometer sejam.

Menurutnya, keadaan persekitaran kini menunjukkan taufan akan mengekalkan tekanannya, dan mungkin menyebabkan ombak setinggi 10.6 hingga 12.1 meter.

Sementara itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi, semalam mempengerusikan mesyuarat peringkat tinggi untuk mengkaji semula kesiapsiagaan menghadapi Taufan Biparjoy, yang turut dijangka membadai kawasan pantai barat negara itu.

Modi turut menasihatkan pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan langkah terbaik bagi memastikan penduduk yang tinggal di lokasi berisiko dipindahkan dengan selamat.

Menurut Jabatan Meteorologi India, taufan itu dijangka merentasi kawasan Saurashtra dan Kutch di negeri barat Gujarat menjelang Khamis dengan kelajuan angin maksimum 125 hingga 145 kilometer sejam dengan kemungkinan hujan lebat di daerah pantai Gujarat.

Pengawal Pantai India dan Tentera Laut India sudah mengerahkan kapal serta helikopter untuk operasi bantuan mencari dan menyelamat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya