NEW DELHI: Lebih 100,000 penduduk dipindahkan dari beberapa kawasan selepas Taufan Biparjoy menuju ke arah India dan Pakistan.
Menurut pegawai bertugas misi bantuan, C.C Patel, lebih 47,000 penduduk dipindahkan dari daerah pantai Saurashtra dan Kutch di Gujarat, India.
Beberapa agensi kerajaan melaksanakan proses evakuasi penduduk ke tempat perlindungan sementara.
Daerah itu menjangkakan impak akibat Taufan Biparjoy yang dijangka melanda berhampiran pelabuhan Jakhau dengan membawa kelajuan angin 125 hingga 135 kilometer sejam (km/j) yang mampu mencecah 150km/j.
Memetik laporan The Times of India, seramai 14,088 orang dari daerah Kutch, diikuti 5,000 orang (Devbhumi Dwarka), 4,000 orang (Rajkot), 2,000 orang (Morbi) dan lebih 1,500 orang dari Jamnagar dipindahkan.
Seramai 550 penduduk dari Porbandar dan 500 orang lagi dari Junagadh turut dipindahkan.
Pesuruhjaya misi bantuan negeri, Alok Kumar Pandey mengesahkan jumlah penduduk yang dipindahkan turut merangkumi seramai 284 wanita mengandung.
Dilaporkan, ketika taufan itu semakin menghampiri, dua lagi kes kematian baharu direkodkan di Gujarat, sekali gus menjadikan jumlah korban keseluruhan akibat cuaca ribut menjelang bencana itu mencecah lima orang.
Dua kes kematian itu melibatkan seorang wanita dari Madhya Pradesh yang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa dikenali Naran Lodhar, 35, maut akibat dihempap dibawah bangunan usang yang runtuh di Porbandar.
Dalam pada itu, menurut Jabatan Meteorologi India (IMD), berdasarkan ramalan, taufan itu menjadi lemah daripada memuncak menjadi ribut taufan teruk Biparjoy ketika berada di timur laut Arab.
Bagaimanapun, agensi itu menjangkakan taufan itu mungkin membawa kerosakan yang meluas apabila memasuki negeri berkenaan.
Ketua IMD, Mrutyunjay Mohapatra berkata, taufan itu juga boleh menyebabkan hujan lebat, dengan taburan melebihi 20 sentimeter (sm) di beberapa kawasan terpencil di Kutch, Devbhumi Dwarka, Jamnagar dan Porbandar.
Sementara itu, pihak berkuasa Pakistan mengesahkan proses evakuasi besar-besaran sudah bermula di wilayah Sindh, dengan kira-kira 62,000 penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.
Beberapa pusat membeli-belah dan premis perniagaan yang terletak di sepanjang pantai di ibu kota Karachi juga sudah ditutup. – AFP/AGENSI