MOGADISHU: Sekurang-kurangnya 25 kanak-kanak lelaki terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas sisa bom perang meletup di padang permainan berhampiran bandar Qoryoley di selatan Somalia, kelmarin.
Menurut kenyataan Timbalan Pesuruhjaya Qoryoley, Abdi Ahmed Ali, kumpulan kanak-kanak berusia antara 10 hingga 15 tahun itu dilaporkan bermain dengan sisa bahan letupan tersebut yang kelihatan seperti periuk api sebelum ia meletup di padang terbuka.
“Semua mangsa tidak tahu sama ada bom itu sudah lupuas atau tidak sehinggalah ia meletup dan mengenai mereka.
“Oleh hal yang demikian, kami menggesa kerajaan supaya segera membersihkan dan melupuskan semua bom serta periuk api yang masih ada di beberapa kawasan.
“Amat menyedihkan menyaksikan puluhan kanak-kanak yang masih muda maut akibat insiden itu,” katanya.
Dalam pada itu, laporan lain pula menyebut kumpulan kanak-kanak itu menemukan sebutir bom yang belum meletup dan bermain dengannya.
Sehingga kini, kesemua mangsa yang terbunuh dan cedera sudah dibawa ke hospital berhampiran.