SINGAPURA: Selepas seminggu penguatkuasaan terhadap individu yang tidak mengangkat dulang dan pinggan mangkuk selepas makan, menyaksikan sebanyak 73 amaran bertulis dikeluarkan kepada pengunjung kedai makan.
Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam kenyataan berkata, pada minggu lalu, operasi penguatkuasaan harian dilakukan di 95 pusat penjaja dan 120 kedai kopi serta medan selera.
“Setiap pengunjung yang diberikan amaran bertulis akan dipantau oleh pegawai penguatkuasa supaya mereka membersihkan meja selepas makan.
“Namun, pihak berkuasa tidak akan mengenakan tindakan terhadap warga emas yang lemah, kurang berkemampuan atau kanak-kanak yang tidak dapat membersihkan meja mereka selepas makan.
“Dalam keadaan itu, ahli keluarga atau rakan yang ada di situ perlu membantu mereka membersihkan meja,” jelas agensi itu.
Selain itu, pihak berkuasa turut mengingatkan pengunjung supaya tidak meninggalkan sampah seperti tisu terpakai, tin minuman dan sisa makanan.
“Walaupun tukang cuci akan mengelap meja selepas digunakan, kami tetap menggalakkan pengunjung untuk memastikan meja sentiasa bersih, terutamanya waktu puncak,” menurut dua agensi berkenaan.
Sejak penguatkuasaan dipertingkatkan bermula 1 Jun lalu, tiada denda dikeluarkan kerana tiada pesalah berulang.
Di bawah peraturan yang ditetapkan, pesalah kali perama akan diberi amaran bertulis, manakala pesalah berulang akan didenda atau didakwa di mahkamah.