Riyadh jalin kerjasama ekonomi dengan Beijing, AS gusar

Riyadh jalin kerjasama ekonomi dengan Beijing, AS gusar

MENTERI Luar Arab Saudi Faisal Farhan al-Saud (kanan) dan Naib Pengerusi Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC), Hu Chunhua menghadiri Persidangan Perniagaan Arab-China Ke-10 di Riyadh kelmarin.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Negara barat terutamanya Amerika Syarikat (AS) menerima tamparan hebat apabila usaha mereka untuk mengekang ‘pembangunan ekonomi China’ semakin kabur dan tersasar jauh selepas Arab Saudi secara terbuka memilih Beijing untuk bekerjasama.

Dalam Persidangan Perniagaan Arab-China Ke-10 yang berlangsung kelmarin, Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz Salman mengumumkan mahu bekerjasama dan bukan bersaing dengan China.

TIDAK HIRAU PRASANGKA BARAT

Malah menegaskan beliau tidak menghiraukan sebarang syak wasangka Barat terhadap hubungan Riyadh yang semakin akrab dengan Beijing.

Sebagai pengeksport minyak utama dunia, hubungan dua hala Arab Saudi dengan pengguna tenaga terbesar dunia itu melibatkan perjanjian hidrokarbon.

Malah kerjasama antara Riyadh dan Beijing juga semakin rapat dalam bidang keselamatan dan teknologi sensitif di tengah-tengah ketegangan hubungan politik yang menjadi kebimbangan AS.

“Saya sebenarnya tidak mengendahkannya kerana sebagai ahli perniagaan, kini kami akan pergi ke mana peluang datang kepada kami.

“Kami tidak perlu berdepan sebarang pilihan yang ada kaitan sama ada dengan kami atau dengan yang lain,” jelas Putera Abdulaziz ketika ditanya mengenai kritikan terhadap hubungan dua hala itu.

Ratusan usahawan dan pelabur China termasuk penggubal dasar dari 26 negara menuju ke Riyadh untuk menghadiri persidangan berkenaan, yang diadakan hanya beberapa hari selepas lawatan oleh Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.

Hari pertama persidangan menyaksikan pemeteraian 30 perjanjian pelaburan bernilai AS$10 bilion (RM46,203 bilion) merentasi pelbagai sektor termasuk teknologi, tenaga boleh diperbaharui, pertanian, hartanah, mineral, rantaian bekalan, pelancongan dan penjagaan kesihatan.

TINGKAT PROSPEK KERJASAMA

Menurut Kementerian Pelaburan, kerajaan Arab Saudi turut menandatangani perjanjian dengan beberapa entiti China melibatkan projek usaha sama penyelidikan automotif, pembangunan, pembuatan dan jualan, pembangunan pelancongan dan aplikasi termasuk pengeluaran gerabak serta roda kereta api.

Acara selama dua hari itu dianjurkan oleh kementerian pelaburan dan luar Arab Saudi dengan kerjasama Sekretariat Agung Liga Arab, Majlis Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China dan Kesatuan Dewan Arab.

Dalam usaha meningkatkan lagi hubungan perdagangan dengan China, Arab Saudi turut mengumumkan kebangkitan semula Laluan Sutera di luar acara itu.

Menteri Pelaburan, Khalid Al-Falih berkata, kerajaan itu boleh berfungsi sebagai pintu masuk China ke dunia Arab sejajar dengan visi mempelbagaikan ekonomi dan menggunakan teknologi moden untuk meningkatkan kemahiran golongan belia.

Jelasnya lagi, momentum hubungan kedua-dua negara juga meningkatkan prospek untuk mencapai hasil terbaik dalam perjanjian perdagangan bebas antara China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang didominasi Arab Saudi sejak 2004.

Katanya, sebarang perjanjian perlu melindungi industri Teluk yang sedang berkembang apabila rantau itu mula mempelbagaikan pelaburan ke arah sektor ekonomi bukan minyak.

“Kami perlu memperkasakan industri kami untuk mengeksport, jadi kami berharap semua negara yang berunding untuk perjanjian perdagangan bebas tahu kami perlu melindungi industri baharu kami yang sedang pesat membangun,” kata Khalid yang turut berharap perjanjian itu akan dicapai tidak lama lagi.

Pada bulan Mac lalu, gergasi minyak negara Saudi Aramco mengumumkan dua perjanjian utama untuk meningkatkan pelaburan berbilion dolarnya di China sekaligus memperkukuh kedudukannya sebagai pembekal utama minyak mentah di negara itu.

Langkah itu merupakan perjanjian terbesar yang diumumkan sejak lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Arab Saudi Disember tahun lalu di mana beliau menggesa perdagangan minyak dalam yuan, satu langkah yang akan melemahkan penguasaan dolar AS.-REUTERS/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya