NEW DELHI: Kes pembunuhan seorang gadis berusia 16 tahun yang ditikam berkali-kali dan dipukul hingga mati di tempat awam, mencetuskan kemarahan dan kecaman terhadap keselamatan wanita di India.
Lapor The Guardian, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada hari kejadian menunjukkan remaja perempuan itu diserang oleh lelaki bernama Sahil Khan, 20, di khalayak ramai.
Dalam rakaman itu, Sahil dilihat menikam mangsa lebih 30 kali dan memukulnya dengan bongkah konkrit.
Kejadian sadis itu berlaku di tempat awam dengan orang ramai dilihat lalu-lalang, namun tiada siapa pun yang tampil untuk membantu mangsa.
“Seorang lelaki cuba campur tangan namun dia ditolak oleh penyerang. Tiada apa dilakukan untuk menghalangnya.
“Malah, tiada siapa pun tampil menghubungi polis. Mayat gadis itu ditemukan terbaring di sebuah lorong tanpa diusik sehingga dikesan oleh seorang pemberi maklumat polis kira-kira 30 minit selepas kejadian,” jelas laporan.
Menurut polis, hasil siasatan mendapati Sahil dan remaja perempuan itu merupakan kekasih.
Katanya, Sahil bertindak membunuh kekasihnya selepas berasa tidak puas hati kerana mangsa cuba memutuskan hubungan mereka.
Jelas polis, lelaki itu menggunakan pisau dibeli dua minggu lalu dan mengekori mangsa dari pasar hingga ke sebuah lorong gelap sebelum menyerangnya secara kejam.
“Sahil mendakwa mangsa menghinanya dan menyebut perkara tidak menyenangkan mengenai hubungan cinta mereka.
“Ia menyebabkan lelaki itu berasa marah dan bertindak membunuh mangsa,” kata polis.
Pembunuhan ngeri itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan aktivis dan ahli politik yang menuntut langkah lebih efisien diambil untuk melindungi golongan wanita di negara itu.
Insiden itu sekali lagi membangkitkan isu keselamatan wanita di India.