AMMAN: Putera Mahkota Jordan, Al Hussein bin Abdullah II menamatkan zaman bujangnya apabila berkahwin dengan pewaris di raja Arab Saudi yang juga seorang arkitek Rajwa Al Saif kelmarin.
Penyatuan dua jiwa itu berlangsung dalam satu majlis perkahwinan yang dihadiri keluarga diraja dari seluruh dunia.
Pernikahan itu berlangsung di Istana Zahran di ibu negara Jordan, Amman dengan Raja Abdullah II, Putera Hassan bin Talal dan bapa pengantin perempuan menjadi saksi, lapor agensi Anadolu.
Selepas majlis pernikahan, televisyen kendalian kerajaan melaporkan putera mahkota dan pengantin perempuan dibawa mengelilingi ibu kota dalam perarakan kereta diraja ke Istana Al Husseiniya untuk majlis resepsi.
Sejurus selepas majlis pernikahan itu, Al Saif dianugerah gelaran puteri menerusi titah diraja.
Raja dan Permaisuri Jordan menganjurkan majlis resepsi perkahwinan itu di Istana Al Husseiniya yang dihadiri lebih 1,700 tetamu dari pelbagai negara, termasuk pemimpin dunia.
Raja Abdullah mempunyai empat orang anak: Putera Mahkota Hussein (29), Puteri Iman (27), Puteri Salma (23) dan Putera Hashim (18).
Putera Hussein adalah pewaris takhta Jordan yang sah seperti yang dinyatakan dalam perenggan pertama Perkara 28 Perlembagaan.
Majlis perkahwinan Putera Mahkota Hussein itu turut dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Raja Belanda Willem-Alexander, Presiden Iraq Abdul Latif Rashid, Perdana Menteri Lubnan,
Najib Mikati, Putera Mahkota Kuwait Mishal Al- Ahmad Al-Jaber Al-Sabah dan isteri Presiden AS Joe Biden Jill Biden dan anak perempuannya Ashley Biden.