ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 28 maut dan beberapa kediaman runtuh akibat hujan lebat yang melanda wilayah barat laut Pakistan.
Lapor Al Jazeera, pegawai kanan pasukan penyelamat, Khateer Ahmed berkata, hujan lebat dan hujan batu melanda daerah Bannu, Lakki Marwat dan Karak di wilayah Khyber Pakhtunkhwa semalam.
Katanya, seramai 145 orang lagi cedera ketika pokok yang tumbang menolak menara penghantaran bekalan elektrik.
Jelas beliau, ketika ini, pasukan penyelamat berusaha sedaya upaya memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa yang cedera.
Perdana Menteri, Shahbaz Sharif menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mengarah pihak berkuasa mempercepatkan operasi bantuan.
Bulan lalu, kira-kira 12 orang termasuk wanita dan kanak-kanak maut akibat ditimpa runtuhan salji semasa salji luar biasa pada musim panas.
Sementara itu, Shahbaz turut mengarahkan pihak berkaitan melaksanakan langkah kecemasan ketika Taufan Biporjoy menghampiri negara dari Laut Arab.
Sebelum ini, Agensi Pengurusan bencana Pakistan memaklumkan taufan kuat dengan tahap kelajuan angin 150 kilometer sejam (km/j) dalam laluan ke arah selatan negara.
Tahun lalu, Pakistan dilanda banjir terburuk dalam sejarah negara itu, disebabkan hujan lebat.
Sekurang-kurangnya 1,739 orang termasuk 647 kanak-kanak terkorban selain 33 juta penduduk terjejas akibat bencana itu.