NANTERRE: Anggota polis yang bertanggungjawab menembak mati seorang remaja berusia 17 tahun ketika pemeriksaan trafik di Perancis, dilaporkan meminta maaf kepada keluarga mangsa.
Peguam belanya, Laurent-Franck Lienard berkata, lelaki berusia 38 tahun itu sudah membuat permohonan maaf kepada keluarga Nahel ketika berada dalam tahanan.
“Perkataan pertama dan terakhir keluar dari mulut anggota polis itu adalah meminta maaf kepada keluarga mangsa.
“Tak dapat digambarkan betapa hancur dan luluhnya perasaan anggota polis itu ketika ini. Dia tidak berniat untuk membunuh remaja itu,” katanya.
Dilaporkan, anggota polis itu didakwa atas tuduhan membunuh dengan sengaja.
Nahel ditembak ketika dikatakan cuba melarikan diri semasa ditahan polis selepas didakwa melanggar peraturan lalu lintas ketika memandu kereta di pinggir ibu kota Paris.
Polis pada mulanya melaporkan seorang anggotanya menembak remaja itu selepas didakwa memandu secara melulu ke arahnya, namun versi insiden itu bercanggah dengan video yang tersebar di media sosial.
Sebuah video menunjukkan dua anggota polis berdiri di tepi kereta yang tidak bergerak, dengan seorang mengacukan senjata ke arah pemandunya.
Kematian Nahel mencetuskan rusuhan di beberapa pinggir bandar Paris sejak Selasa lalu.
Terdahulu, ibu kepada Nahel, Mounia menyifatkan insiden itu bermotifkan perkauman, namun katanya, dia tidak menyimpan dendam terhadap pasukan polis.
Sementara itu, sumber polis memaklumkan, pihaknya kini bersiap sedia menghadapi protes lebih ganas dalam beberapa hari akan datang susulan insiden tembakan maut remaja berkenaan.
Berdasarkan nota keselamatan dalaman, siri keganasan dijangka tercetus di bandar itu dengan tindakan disasarkan terhadap sebarang pelanggaran arahan dan cubaan merosakkan harta awam.
Pihak berkuasa sudah mengisytiharkan perintah berkurung di Clamart antara pukul 9 malam dan 6 pagi (waktu tempatan) bermula Khamis hingga Isnin depan.
Dilaporkan, kira-kira 40,000 anggota polis dikerahkan untuk menjaga keamanan selepas rusuhan dijangka berterusan.
Jumlah itu adalah empat kali ganda berbanding bilangan anggota polis yang berkawal di bandar itu pada Rabu lalu.