WASHINGTON: Perdana Menteri India, Narendra Modi menafikan wujud diskriminasi terhadap golongan minoriti dan rakyat beragama Islam di bawah pentadbiran kerajaan pimpinannya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden kelmarin walaupun kumpulan hak asasi manusia dan Jabatan Negara AS melaporkan perkara sebaliknya.
Biden berkata, beliau menyentuh tentang hak asasi manusia dan turut menekan nilai demokrasi lain dengan Modi semasa perbincangan mereka di White House.
Modi turut menegaskan, tiada apa yang perlu diperbaiki di negaranya ketika ditanya tentang langkah yang sanggup ambil untuk memulihkan hak orang Islam dan minoriti lain serta usaha menegakkan kebebasan bersuara di India.
“Berkenaan Perlembagaan dan kerajaan, kami sudah membuktikan demokrasi boleh dilaksanakan. Apabila saya katakan tentang kasta, kepercayaan, agama dan jantina, tidak ada ruang untuk sebarang diskriminasi dalam kerajaan saya,” kata Modi kepada pemberita.
Dalam laporan mengenai hak asasi manusia dan kebebasan beragama, Jabatan Negara membangkitkan kebimbangan mengenai layanan terhadap orang Islam, Hindu Dalit, Kristian dan minoriti lain di India termasuk tindakan tegas terhadap golongan wartawan.
Penyokong hak asasi manusia dan berpuluh-puluh penggubal undang-undang dari Parti Demokratik turut menggesa Biden membangkitkan isu itu secara terbuka kepada Modi, yang memimpin parti nasionalis Hindu Bharatiya Janata (BJP) dan memegang kuasa sejak tahun 2014.
“Modi harus berfikir mengapa isu itu adalah soalan pertama yang ditanya kepadanya dalam taklimat akhbar. Jelas sekali terdapat penyalahgunaan hak di India,” kata Pengarah Advokasi Majlis Muslim India AS, Ajit Sah.
Dalam pada itu, Pengasas Hindutva Watch, Raqib Hameed Naik yang memantau laporan serangan ke atas minoriti India menyifatkan komen Modi yang menafikan kewujudan diskriminasi di negaranya sebagai satu pembohongan.
Dua ahli Kongres wanita Islam AS, Ilhan Omar dan Rashida Tlaib bersama beberapa penggubal undang-undang progresif lain seperti Alexandria Ocasio-Cortez, memboikot ucapan Modi kepada Kongres memetik dakwaan penderaan terhadap pembangkang dan minoriti India, khususnya umat Islam. – REUTERS