BANGKOK: Pita Limjaroenrat berisiko hilang kelayakan daripada menyandang jawatan Perdana Menteri Thailand berikutan aduan terhadap pegangan saham miliknya dalam sebuah firma media.
Timbalan Perdana Menteri sementara Thailand, Wissanu Krea-ngam berkata, butiran aduan terhadap pegangan saham Pita dalam firma media iTV Plc akan menjadi faktor utama menentukan kelayakannya untuk jawatan tertinggi negara itu.
“Jika aduan itu menyasarkan kelayakannya untuk menjadi Perdana Menteri, Pita masih boleh menjadi ahli Parlimen.
“Jika aduan menyasarkan kedua-duanya, mahkamah akan memutuskan kedua-duanya,” kata Wissanu dipetik akhbar Bangkok Post.
Pita merupakan pemimpin dan calon Perdana Menteri tunggal Parti Move Forward, yang memperoleh kemenangan tidak dijangka dalam Pilihan Raya Umum negara itu pada 14 Mei lalu.
Sebelum pengundian, calon dari parti yang mempunyai kaitan dengan tentera, Palang Pracharat, Ruangkrai Leekitwattana mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.
Beliau mendakwa Pita tidak layak menyertai perlumbaan kerana melanggar perlembagaan berikutan pegangan saham dalam firma media itu.
Seksyen 98 dalam Perlembagaan Thailand melarang individu daripada bertanding dalam pemilihan ahli Dewan Rakyat jika mereka memegang saham mana-mana akhbar atau perniagaan media.
Wissanu berkata, aduan itu turut menyasarkan keahlian Pita dalam Parti Move Forward.
“Jika perkara ini diambil kira, perlu ada pilihan raya umum baharu di seluruh negara.
“Suruhanjaya Pilihan Raya tidak mengambil apa-apa tindakan dan diharap tidak termasuk ke dalam senario negatif ini,” katanya lagi.
Pada 9 Mei lalu, Pita menerusi akaun Twitter memaklumkan beliau tidak mengambil berat tentang kes itu kerana saham berkenaan milik dana pusaka keluarganya.
“Status saya adalah pengurus dana dan saya sudah berunding serta memaklumkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negara suatu masa dahulu,” jelasnya.