BRATISLAVA: Sebuah keluarga peladang biji popi di Slovakia berdepan masalah untuk menghalau beratus-ratus burung swan yang sudah ‘ketagih’ dengan tanaman itu hingga ada yang terlebih dos.
Para petani popi berhampiran bandar Komarno pertama kali melaporkan kehadiran swan di ladang mereka sejak bulan Februari lalu.
Media tempatan melaporkan, kira-kira 200 ekor swan kini menjadikan ladang popi berhampiran Komarno sebagai habitat mereka, menyebabkan kerugian berjumlah 10,000 euro (RM51,105)
“Awalnya haiwan berkenaan hanya datang untuk minum di lopak air besar yang terbentuk secara semulajadi namun selepas seharian mematuk pokok bunga, burung-burung itu mula ketagih hingga enggan meninggalkan ladang ini.
“Saya tidak pernah melihat kejadian seperti ini. Malah ada burung yang sudah tidak boleh terbang kerana terlebih dos opium yang terkandung dalam biji popi,” kata petani, Balints Pam.
Wakil Perkhidmatan Perlindungan Alam Slovak, Jans Kalavskis berkata, swan mempunyai status haiwan yang dilindungi di Slovakia dan petani tidak dibenarkan memburu atau mengganggu burung berkenaan, walaupun mencetus kerosakan di hartanah mereka.
“Sebagai persediaan, petani perlu memohon pengecualian untuk dibenarkan menakutkan burung yang dilindungi. Swan yang sudah ada di sana hanya boleh ditakuti dengan tangan. Pada masa ini, tiada apa lagi yang boleh dilakukan,” jelasnya.
Pencinta haiwan dan sukarelawan cuba menempatkan semula burung swan berkenaan dalam usaha menghilangkan ketagihan mereka terhadap biji popi, tetapi pakar bimbang haiwan itu mungkin akan kembali ke ladang sebaik sahaja mereka mempunyai peluang. – Agensi