BEIJING: Pertemuan antara Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dengan Presiden China, Xi Jinping ketika dalam lawatan dua hari ke Beijing, sekadar `membuang masa’ ekoran tiada perkembangan positif antara kedua-dua pihak.
Pertemuan yang pada asalnya bertujuan memastikan banyak perselisihan faham antara dua kuasa besar dunia itu dapat ditangani tanpa dibelit konflik, nampaknya tidak mendatangkan sebarang manfaat.
Ini berikutan China masih kekal dengan pendirian mereka sementara AS pula kelihatan sedaya upaya memujuk republik itu.
Jinping mengakui beliau melihat sedikit kemajuan dalam hubungan dengan AS menerusi kunjungan Blinken, tetapi China masih bertegas mempertahankan kuasa saingan mengenai beberapa pertikaian sebelum ini.
Pada masa sama, pemimpin itu mendakwa dua kuasa mencapai kemajuan dan persetujuan dalam beberapa isu yang tidak dinyatakan.
“Saya berharap agar Blinken menerusi lawatan itu dapat memberi sumbangan positif untuk menstabilkan hubungan China dan AS,” katanya.
Dalam pada itu, Blinken memaklumkan hasil pertemuan selama 11 jam dengan pelbagai pegawai tertinggi China sepanjang dua hari lawatan lebih memfokuskan kepada isu memulihkan hubungan dua negara.
“Kami berjaya mencapai kemajuan dan melangkah ke hadapan. Sudah tentu, ia tidak dapat diselesaikan dengan satu lawatan sahaja,” katanya kepada pemberita.
“Penglibatan secara langsung dan komunikasi berterusan di peringkat tertinggi adalah cara terbaik untuk menguruskan perbezaan secara bertanggungjawab dan memastikan persaingan tidak berubah menjadi konflik.
“Saya mendapat tahu perkara sama dari rakan sejawat dari China. Kedua-dua pihak bersetuju mengenai keperluan untuk menstabilkan hubungan AS-China,” katanya.
Selain itu, Blinken memaklumkan dua ekonomi terbesar dunia itu akan bekerjasama untuk merancakkan lagi industri penerbangan yang ketika ini masih berada pada tahap minimum sejak pandemik Covid-19.
Malah, beliau juga menyatakan pihaknya akan meneroka cara baharu untuk membincangkan eksport bahan kimia buatan China iaitu ubat penahan sakit fentanyl.
Terdahulu, diplomat tertinggi China, Wang Yi menggesa AS menyelesaikan perbezaan yang timbul dengan republik itu.
Beliau menganggap lawatan Blinken ke Beijing berada pada `landasan kritikal’ dalam hubungan antara China-AS.
Malah, Wang Yi memberitahu Blinken bahawa kedua-dua negara perlu membuat pilihan antara dialog dan konfrontasi, kerjasama atau konflik.
“Kita harus memulihkan hubungan China-AS yang semakin regang, membawa kembali ke landasan yang stabil selain bekerjasama mencari pendekatan sewajarnya untuk kedua-dua negara berbaik semula,” katanya. – AFP