BANDUNG: Kerajaan Indonesia kelmarin sudah pun mengumumkan logo yang akan menjadi lambang Ibu Kota Negara Nusantara (IKN) yang diberi nama sebagai Pohon Hayat.
Logo itu dicipta oleh seorang artis bernama Aulia Akbar yang berasal dari Bandung, Jawa Barat.
Aulia merupakan alumni Institut Teknologi Nasional memberitahu, dia tidak menghasilkan logo tersebut seorang diri, malah dibantu oleh beberapa rakan serta masyarakat.
“Saya hanya mewakili pasukan yang sama-sama menghasilkan logo IKN.
“Dalam pasukan kami, ada 10 orang dengan setiap seorang mempunyai peranan masing-masing dalam menghasilkan logo tersebut, bermula dari idea sehinggalah ia dipilih oleh kerajaan,” katanya.
Aulia juga menceritakan, dia dan pasukannya mereka logo tersebut selama sebulan selepas melihat pemberitahuan rekaan logo untuk IKN.
Katanya, penghasilan logo tersebut berdepan dengan beberapa cabaran.
“Kami perlu hasilkan logo yang benar-benar menunjukkan identiti IKN sebagai ibu negara baharu Indonesia, bukan sahaja untuk negara ini, tetapi juga untuk tatapan dunia.
“Akhirnya, logo rekaan kami dipilih sebagai pemenang dan mendapat hadiah penghargaan bernilai 185 juta rupiah (RM57,011),” ujarnya.