KATHMANDU: Seorang pendaki wanita dari China mencetuskan kontroversi selepas enggan membayar yuran menyelamat berjumlah AS$10,000 (RM46,194) kepada sherpa yang menyelamatkannya ketika berada di Gunung Everest.
Dalam kejadian berlaku pada 18 Mei lalu, seorang lagi pendaki, Fan Jiangtao menemukan wanita berusia lingkungan 50 tahun yang dalam keadaan tidak sedarkan diri semasa mendaki puncak tertinggi dunia itu.
Wanita dikenali sebagai Luo dikatakan berjaya sampai di puncak dan dalam perjalanan pulang ke kem pangkalan sebelum mengalami masalah kesihatan.
Jiangtao dan sherpa memutuskan untuk meninggalkan impian mereka menakluki Gunung Everest agar dapat membantu membawa kembali Luo ke kem pangkalan dengan selamat.
Ketika turun dari puncak, mereka bertemu dengan ahli Persatuan Pendaki Gunung Wilayah Hunan, Xie Ruxiang yang turut sama meninggalkan impian pendakiannya untuk membantu mangsa.
Bagaimanapun, sherpa mengiringi Ruxiang keberatan untuk menyertai misi tersebut sehingga dia berjanji menawarkan bayaran sebanyak AS$10,000 (RM46,194) menyebabkannya bersetuju untuk membantu mereka.
Operasi penyelamatan itu berjalan lancar dan Luo dirawat selama beberapa hari di kem pangkalan sehingga pulih sepenuhnya.
“Apabila Luo mendapat tahu mengenai bayaran itu, dia enggan membayar kepada sherpa berkenaan,” jelas laporan itu.
Menurut Jiangtao, wanita itu memaklumkan dia hanya sanggup membayar sebanyak AS$4,000 (RM18,478) berbanding jumlah bayaran dijanjikan kepada sherpa itu.
Dua pendaki lain yang membantu menyelamatkan Luo terpaksa membayar yuran berkenaan.
Kisah itu menjadi tular dalam media sosial China dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Rata-rata warganet mengecam tindakan wanita itu yang membiarkan pendaki yang menyelamatkannya menanggung bayaran berkenaan. – AGENSI