KATHMANDU: Seorang pendaki Malaysia berjaya diselamatkan dengan bantuan malim gunung atau Sherpa yang membawanya keluar selepas terkandas di `zon maut’ di Gunung Everest.
Menurut pegawai kerajaan, Sherpa bernama Gelje, 30, menarik pendaki Malaysia turun dari bawah puncak Gunung Everest dalam misi menyelamat altitud tinggi yang sangat jarang berlaku.
Ketika kejadian, Gelje sedang membawa pendaki dari China ke puncak Everest setinggi 8,849 meter pada 18 Mei lalu sebelum ternampak pendaki Malaysia berpaut pada tali dan menggigil akibat kesejukan melampau di kawasan yang dikenali sebagai `zon maut’.
Dilaporkan, suhu di kawasan itu boleh mencecah -30 darjah Celsius atau lebih rendah.
Gelje kemudian menarik pendaki itu sejauh 600 meter turun dari kawasan Balcony ke South Col dalam masa enam jam, sebelum seorang lagi sherpa, Nima Tahi turut sama menyertai misi menyelamat itu.
“Kami terpaksa menutup pendaki itu dengan sleeping mat dan menyeretnya di atas salji atau membawanya secara bergilir-gilir ke Kem III,” kata Gelje.
Sebuah helikopter kemudian mengangkat mangsa dari Kem III setinggi 7,162 meter turun ke kem pangkalan.
Tambah Gelja, dia berjaya meyakinkan pendaki dari China untuk tidak meneruskan cubaan mendaki gunung Everest.
“Ini kerana bagi saya misi menyelamatkan mangsa adalah lebih penting,” katanya.
Sementara itu, pegawai Jabatan Pelancongan, Bigyan Koirala menyifatkan misi penyelamatan demikian jarang berlaku kerana hampir mustahil untuk menyelamatkan pendaki pada altitud berkenaan.
Sherpa Tashi Lakhpa dari syarikat Seven Summit Treks yang menyediakan logistik kepada pendaki Malaysia, enggan mendedahkan nama individu itu.
Menurutnya, pendaki terbabit sudah pulang ke Malaysia minggu lalu. – REUTERS