PYONGYANG: Korea Utara menyifatkan pelancaran satelit peninjau tentera pertama negara itu sehingga terhempas ke laut pada bulan lalu, merupakan `kegagalan yang paling besar’.
Parti pemerintah Korea Utara membidas pelancaran satelit yang gagal itu dalam satu mesyuarat peringkat tinggi diadakan pada hujung minggu lalu.
Agensi berita KCNA melaporkan mesyuarat itu turut mengarahkan pegawai berkaitan dan para penyelidik mengkaji kegagalan pelancaran satelit, selain bersiap sedia mengadakan pelancaran semula dalam masa terdekat.
Menurut laporan, pihak yang bertanggungjawab terhadap pelancaran satelit itu turut menerima kecaman hebat.
Ia merupakan mesyuarat pleno kelapan Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja Korea (WPK) Ke-8.
Sebelum ini, Pyongyang mengakui roket negara itu terhempas ke dalam laut selepas kehilangan tujahan akibat enjin peringkat kedua gagal dihidupkan setelah proses pemisahan peringkat pertama.
Korea Utara juga berikrar untuk terus membangunkan keupayaan senjata nuklear dan mengukuhkan solidariti dengan negara lain yang menentang `strategi Amerika Syarikat (AS) menjadi kuasa dunia’.
Dalam pada itu, mesyuarat tersebut antara lain turut membincangkan langkah memastikan bekalan makanan dalam negara mencukupi.
Langkah itu dapat dilaksanakan dengan meningkatkan hasil pertanian negara dan memenuhi sasaran pengeluaran bijirin tahunan.
Pada awal tahun ini, Kementerian di Korea Selatan mendakwa krisis makanan di Pyongyang semakin merosot.
Negara terpencil itu berdepan sekatan antarabangsa yang ketat berikutan pelaksanaa program peluru berpandu dan senjata nuklear.
Malah, ekonomi Korea Utara juga semakin terjejas akibat penutupan sempadan yang dilaksanakan bertujuan mengekang penularan wabak Covid-19. – REUTERS