LONDON: Satu data mendedahkan Pakistan mempunyai jumlah penghidap penyakit kencing manis atau diabetes yang tertinggi di dunia.
Lapor Daily Mail, maklumat itu dikeluarkan laman saintifik, Our World In Data yang menggunakan data dari Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF).
Data itu menganalisis peratusan penghidap diabetes yang berumur antara 20 dan 79 tahun di 211 buah negara.
Pakistan mendahului senarai itu, dengan kira-kira 31 peratus rakyatnya menghidap penyakit kencing manis.
“Meskipun mengamalkan diet pemakanan kaya dengan bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran, kajian menunjukkan rakyat Pakistan dan negara lain di seluruh rantau Asia Barat dan Asia Selatan secara genetik lebih tahan terhadap insulin.
“Situasi itu secara tidak langsung meningkatkan kebarangkalian penduduk dari negara menghidap keadaan tersebut,” jelas laporan.
Dalam pada itu, Polinesia Perancis berada di tangga kedua dengan mencatatkan 25.2 peratus diikuti Kuwait pada tempat ketiga (24.9 peratus).
Nauru dan New Caledonia berada pada kedudukan keempat dan kelima dengan masing-masing merekodkan 23 peratus.
Malaysia pula dilaporkan berada pada kedudukan ke-16 dengan mencatatkan 19 peratus.
Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) menduduki tempat ke-59 dalam senarai berkenaan, dengan satu daripada 10 orang menghidap penyakit diabetes di negara itu.
United Kingdom (UK) pula menurun lebih rendah ke tangga ke-136, dengan mencatatkan enam peratus kadar diabetes.