NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) melanjutkan misi organisasi itu di Sudan selama enam bulan sahaja berbanding tempoh setahun yang dilakukan sebelum ini.
Lapor Agensi Anadolu, UNSC sebulat suara bersetuju melanjutkan Misi Bantuan Peralihan Bersepadu PBB di Sudan (UNITAMS) sehingga 3 Disember depan.
Sebelum ini, ketua tentera Sudan, Abdel Fattah al-Burhan menuduh wakil PBB, Volker Perthes mencetuskan konflik yang semakin teruk di negara itu.
Abdel Fattah membuat dakwaan mengenai Perthes dalam satu surat yang dihantar kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pada minggu lalu.
Dalam surat itu, Abdel Fattah menuntut penyingkiran Perthes.
Guterres dan UNSC menyatakan sokongan penuh bagi UNITAMS yang diketuai oleh Perthes.
UNSC juga menggesa komitmen berterusan misi itu, berdasarkan sepenuhnya dengan prinsip pemilikan negara.
Negara Afrika dilanda konflik itu diselubungi keganasan selama beberapa minggu antara tentera Sudan dan Pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).