KAHERAH: Mesir sudah memulakan kerja-kerja mumifikasi seekor jerung yang membaham seorang pelancong Russia, agar ia boleh dipamerkan di muzium negara itu.
Baru-baru ini, Vladimir Popov, 23, maut diserang jerung yang kemudian membahamnya di sebuah pantai berhampiran pusat peranginan mewah di Hurghada, Mesir.
Lapor Daily Mail, beberapa anggota tubuh mangsa ditemukan dalam perut jerung sebelum ia ditangkap dan dipukul sehingga mati untuk `membalas dendam’.
Berdasarkan laporan Al-Arabiya, sekumpulan pakar dari Institut Sains Marin dan Red Sea Reserves memulakan proses embalming iaitu pengawetan dengan kaedah mengeluarkan keseluruhan cecair dalam haiwan itu.
Proses itu dilakukan di Hurghada sebagai persediaan bagi membolehkan jerung itu ditempatkan di muzium institut berkenaan.
Beberapa sumber mendedahkan pihak berkuasa Mesir mengeluarkan cebisan anggota badan bahagian kepala, dada dan lengan mangsa dalam usus jerung itu ketika menjalankan bedah siasat.
Malah, nelayan juga berjaya menemukan separuh lagi tubuh mangsa yang hilang di laut.
Satu rakaman video yang tular dalam media sosial menunjukkan badan jerung itu sedang dibedah oleh pakar, dengan mulut haiwan itu disumbat bahan berwarna putih.
Dalam video tersebut, seorang pakar dilihat sedang melakukan insisi manakala seorang lagi memeriksa ketegasan kulit jerung terbabit.
Sementara itu, Profesor di Institut Sains Marin Kebangsaan Mesir, Dr. Mahmoud Dra berkata, jerung itu merupakan betina dan tiada apa-apa lagi ditemukan di dalam perutnya.
Ketika kejadian, Vladimir dikelilingi seekor jerung harimau sebelum diseret ke dalam air di Hurghada sambil mangsa menjerit ‘papa, selamatkan saya!’.
Tragedi itu disaksikan oleh bapanya yang dalam ketakutan dan buntu untuk membantu menyelamatkan anak kesayangannya.
Insiden itu dirakamkan oleh orang ramai yang boleh didengari menjerit sebelum, semasa dan selepas serangan itu.
Laut Merah menjadi destinasi pelancongan yang popular yang mana penampakan jerung merupakan perkara biasa, namun haiwan itu jarang menyerang pengunjung yang berenang di kawasan yang dibenarkan.