BEIJING: Sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh akibat insiden letupan gas yang memusnahkan sebuah restoran di bandar Yinchuan di barat laut China.
Menurut laporan media kerajaan, letupan berlaku kira-kira pukul 8.40 malam waktu tempatan di Restoran Barbeku Fuyang yang terletak di kawasan perumahan di pusat bandar wilayah Ningxia.
Insiden mengejutkan itu berlaku ketika orang ramai menikmati makan malam bersama keluarga dan rakan-rakan bagi meraikan festival Bot Naga yang berlangsung selama tiga hari.
Pelajar sekolah menengah dan pesara antara yang terkorban, kebanyakannya maut akibat sesak nafas tersedut asap tebal selepas gagal keluar dari restoran itu.
Tujuh lagi mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital berhampiran dengan seorang daripada mereka dilaporkan kritikal.
“Kebocoran gas petroleum cecair menyebabkan letupan semasa operasi sebuah restoran barbeku.
“Dua mangsa melecur teruk, dua cedera ringan dan dua lagi mengalami calar akibat terkena serpihan kaca,” lapor agensi berita Xinhua.
Kementerian Pengurusan Kecemasan berkata, perkhidmatan bomba dan penyelamat tempatan menghantar lebih 100 anggota dan 20 kenderaan ke lokasi kejadian susulan letupan itu.
Rakaman yang disiarkan saluran CCTV menunjukkan lebih 12 anggota bomba bertungkus lumus memadam kebakaran ketika kepulan asap tebal keluar dari restoran berkenaan dan api berjaya dipadam kira-kira pukul 4.00 pagi (waktu tempatan).
Serpihan kaca turut dilihat berselerak di kawasan jalan yang turut menempatkan beberapa kedai makan dan premis hiburan lain.
Sembilan orang termasuk pemilik, pemegang saham dan kakitangan restoran dilaporkan ditahan polis berikutan letupan itu aset mereka turut dibekukan
Presiden China, Xi Jinping menggesa usaha segera diambil bagi membantu mangsa terlibat dan memperkukuh penyeliaan serta pengurusan keselamatan di kawasan terbabit bagi melindungi nyawa dan harta benda orang awam dengan lebih berkesan.
“Usaha untuk memastikan punca kemalangan perlu dilakukan secepat mungkin dan individu yang bertanggungjawab akan dihukum mengikut undang-undang.
“Semua wilayah dan jabatan berkaitan juga harus menyaring dan membetulkan semua jenis risiko dan bahaya tersembunyi,” kata Jinping dipetik Xinhua.-AFP